Sekalipun ia tidak dapat disembuhkan tetapi berita baiknya, diabetes boleh dikawal.
``Jika anda pesakit diabetes, kawallah diabetes dengan berkesan dan elakkan daripada berlakunya komplikasi,'' pesan Dr. Nurain.
Apa itu diabetes?
Diabetes atau sinonim sebagai kencing manis merupakan satu keadaan di mana paras gula dalam darah adalah tinggi.
Ia disebabkan oleh berlakunya kekurangan insulin atau fungsi terjejas atau kedua-duanya sekali.
Apa itu insulin?
Insulin merupakan hormon yang dihasilkan oleh pankreas bagi mengawal paras glukosa dalam darah. Tanpanya, paras glukosa darah akan meningkat.
Paras glukosa darah sentiasa tinggi menyebabkan gangguan metabolisme karbohidrat, lemak dan protein dalam badan.
Tanda-tanda diabetes
Kerap membuang air kecil, berasa terlalu dahaga, sentiasa lapar, penglihatan kabur, nafas berbau manis, penurunan berat badan, keletihan dan luka yang lambat sembuh.
Diagnosis
Diabetes boleh didiagnosa dengan mengambil ujian darah.
Apa yang mereka patut lakukan ialah berpuasa di malam hari dan keesokan harinya bolehlah diambil ujian darah.
Bacaan pesakit diabetes mestilah tidak melebihi 7.0mmol/ sementara mereka yang pradiabetes 5.6 mmol.
Dua jam selepas makan pula bacaan bagi pesakit diabetes sekitar 11.1mmol manakala individu pradiabetes pula, 7.8mmol.
Pradiabetes adalah keadaan biasa yang berkaitan dengan diabetes di mana paras gula dalam darah adalah lebih tinggi dari biasa tetapi tidak terlalu tinggi untuk disahkan sebagai pesakit diabetes.
Rawatan
Rawatan bagi pesakit diabetes jenis 1 ialah mengamalkan pemakanan seimbang dan suntikan insulin manakala jenis 2 pula ialah pemakanan seimbang, senaman, makan ubat dan suntikan insulin bagi kes-kes tertentu.
Apabila diet dan senaman tidak efektif atau gagal, pesakit akan mengalami simptom teruk seperti glukosa darah sangat tinggi, ketosis dan lain-lain.
Pesakit perlu mengambil ubat sama ada sejenis, dua jenis atau tiga jenis mengikut arahan doktor. Jika perlu, ditambahkan insulin.
Doktor juga akan menasihatkan pesakit mengambil ubat-ubatan yang sesuai dan jumlah dos yang patut diambil.
Andainya ubat oral tidak berkesan, insulin digunakan kepada pesakit diabetes jenis 1 tetapi ia juga diperlukan sekiranya pesakit jenis 2 tidak mencapai tahap yang dikehendaki.
Semua ubat-ubatan mestilah mendapat preskripsi doktor terlebih dahulu.
Pengurusan diabetes
Amalkan pemakanan sihat seperti kurangkan makanan yang bergula, berlemak dan berminyak.
Makanan berprotein seperti ikan, makanan laut daging merah, telur, keju rendah lemak juga hendaklah diambil secara sederhana.
Banyakkan memakan kacang, bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran. Makan makanan berkarbohidrat dalam sajian yang sesuai pada setiap hari.
Adalah penting untuk tidak mengelak atau melangkau waktu makan. Ikut waktu yang telah ditetapkan. Cuba aturkan masa makan yang sesuai sepanjang hari. Padankan waktu makan dengan waktu makan ubat.
Makanlah mengikut umur dan tahap aktiviti fizikal anda. Lakukan senaman ringan atau sederhana dan bersenamlah selama setengah jam.
Antara aktiviti kecergasan yang boleh anda lakukan mengikut kesesuaian usia adalah berjalan pantas, mengayuh basikal, berkebun, berenang, memancing, mencuci rumah, mengemop lantai, bermain bola tampar, golf dan lain-lain.
Hipoglisemia
Hipoglisemia atau kekurangan gula di dalam darah boleh berlaku dari semasa ke semasa di kalangan pesakit diabetes.
Ia terjadi akibat pengambilan ubat-ubatan yang berlebihan, melangkau waktu makan, senaman berlebihan, pengambilan alkohol yang tinggi atau mengambil ubat-ubatan lain bagi penyakit-penyakit lain.
Tanda-tanda hipoglisemia adalah lapar, berpeluh, tidak dapat memberi tumpuan, berdebar, semakin resah dan loya.
Apa yang boleh anda lakukan adalah membuat pilihan seperti berikut:
- Minum sedikit jus buah-buahan.
- Ambil setengah tin minuman ringan, dua sudu teh gula.
- Makan sedikit snek, tujuh biji kekacang jeli atau gosokkan serbuk glukosa ke gusi.
Anda dinasihatkan membawa gula-gula pada bila-bila masa sebagai persediaan seandainya paras gula di dalam darah menurun.