Muda Diserang Jantung

Awasi daripada kerosakan gigi Penyakit jantung memang dinobatkan sebagai penyakit pembunuh nombor satu di negara kita dan dengan adanya pelbagai kempen Kementerian Kesihatan, rasanya semua orang tahu faktor risiko untuk mendapatnya.

Meskipun pengetahuan itu ada, ia belum mampu meningkatkan kesedaran orang ramai untuk benar-benar berusaha mencegahnya.

Buktinya catatan kes sakit jantung tetap tinggi, malah yang lebih membimbangkan ialah adanya trend penyakit ini mula menular pada golongan muda sekitar umur 30-an dan 40-an, sedangkan ia pada asalnya dikategorikan sebagai penyakit orang tua (60 tahun ke atas) kerana peningkatan umur antara faktor risiko penyakit jantung yang tidak boleh dikawal.

Sebut saja apa kaedah rawatan terkini untuk penyakit jantung, boleh dikatakan semuanya ada di negara kita, tetapi ia masih tidak boleh menjamin setiap pesakit dapat diselamatkan apabila mengalami serangan jantung.

Malah ramai pakar kardiologi (jantung) menyifatkan pesakit yang berjaya mengharungi serangan jantung pertama sebagai sangat bertuah dan perlu menghargai peluang hidup kali kedua dengan sebaik-baiknya. Ini kerana ramai pesakit meninggal dunia pada serangan jantung pertama.

Perunding Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Dr Shaiful Azmi Yahaya berkata, penyakit jantung memberi impak atau kesan besar dalam kehidupan seseorang.

Ia tidak hanya membabitkan pesakit malah kesannya turut dirasai banyak pihak, termasuk keluarga, masyarakat dan negara kerana kos untuk rawatan sakit jantung bukan murah.

Sakit jantung ada banyak puncanya, tetapi paling utama disebabkan penyumbatan salur darah. Untuk masalah ini banyak kaedah rawatan ditawarkan seperti angioplasti, ubat dan pembedahan.

Kaedah angioplasti yang paling mudah ialah memasukkan kateter yang membawa belon ke dalam salur darah tersumbat.

Apabila sampai ke bahagian ini, belon dikembangkan untuk membuka semula saluran darah yang sempit akibat pengumpulan plak kolesterol.

Kemudian belon ini dikuncupkan dan ditarik keluar. Walaupun kaedah ini membantu ramai pesakit, 25 hingga 30 peratus pesakit mengalami penguncupan semula salur darah di bahagian tersumbat selepas belon dikeluarkan.

Dalam kes seperti ini, stent digunakan untuk memastikan masalah penguncupan semula salur darah tidak berlaku. Stent ialah satu alat seperti jaring dawai yang sangat halus diperbuat daripada logam.

Bagaimanapun, logam boleh menyebabkan pengumpulan darah yang akhirnya menyekat aliran darah di bahagian berkenaan. Ini sebabnya semua pesakit perlu mengambil ubat pencair darah untuk mengelak masalah pengumpulan darah beku pada stent.

Kemudian penyelidik menghasilkan stent bersalut polimer dan pada polimer ini diletakkan ubat untuk mengelak salur pembentukan parut pada salur darah.

Bahagian salur darah yang diletakkan stent akan mengalami luka tetapi kehadiran ubat pada stent memperlahankan penyembuhan luka berkenaan.

Kekal muda di usia tua Ini bermakna sepanjang tempoh penyembuhan, ada risiko berlakunya pembentukan darah beku yang boleh menyebabkan serangan jantung.

Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, penggunaan stent dalam rawatan salur darah tersumbat menjadi semakin penting. Oleh kerana stent digunakan sekarang ada beberapa kekurangan, penyelidik kini mencipta stent yang boleh larut dan hilang sendiri dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

Dengan adanya stent yang boleh larut dalam badan, pesakit boleh diberi stent beberapa kali jika salur darah tersumbat di tempat sama. Kajian awal dilakukan di luar negara dan keputusan diterima sangat memberangsangkan.

Lebih menarik, IJN juga akan terbabit dalam kajian penggunaan stent boleh larut yang dijangka bermula awal tahun ini, katanya.

Perkembangan lain untuk rawatan salur darah tersumbat ialah kemunculan belon berubat. Ia berita baik bagi pesakit yang tidak sesuai menjalani kaedah stent sama ada disebabkan masalah alahan, tidak boleh makan ubat pencair darah, sudah menjalani banyak rawatan stent atau tidak berjaya dalam rawatan dengan stent.

Walaupun pada asalnya stent direka untuk masalah penyumbatan salur darah ke jantung, kini ia turut digunakan bagi salur darah di bahagian bawah badan (kaki), terutama di kalangan pesakit kencing manis. Saiz stent yang digunakan lebih besar; sesuai dengan saiz salur darah di kaki.

Bagaimanapun, ada banyak kes stent yang dimasukkan pada salur darah di kaki mengalami keretakan atau pecah dan menyebabkan salur darah menjadi sempit semula.

Bagaimana stent boleh retak atau pecah? Salur darah di kaki terletak di celah-celah otot yang besar dan kita melakukan banyak aktiviti lasak dengan kaki yang memberi tekanan kepada stent.

Namun kata Dr Shaiful, penggantian stent yang rosak hanya dilakukan jika ada keperluan iaitu apabila pesakit mengadu mengalami gejala akibat penyumbatan semula salur darah. Jika tidak, pesakit tidak memerlukan rawatan susulan. Jadi kemunculan belon berubat boleh mengatasi masalah kerosakan stent.

Penyakit jantung juga boleh disebabkan masalah pada injap di jantung dan kini ada kaedah dipanggil Penukaran Injap Gantian Melalui Kateter (TAVI).

Biasanya rawatan untuk injap membabitkan prosedur besar seperti pembedahan tetapi dengan adanya kaedah TAVI, pesakit tua yang berisiko tinggi untuk menjalani pembedahan kini boleh diberi rawatan.

Kaedah ini hanya terhad kepada pesakit jantung berisiko tinggi yang berusia lanjut (70 dan 80 tahun) dan menghidap darah tinggi, kencing manis atau lelah kerana kosnya mahal iaitu sekitar RM140,000,00 termasuk harga injap jantung gantian berharga RM112,000.

Sejak diperkenalkan pada hujung 2009, kita merawat 11 pesakit dan ia pencapaian yang sangat membanggakan memandangkan IJN adalah institusi pertama di Asia menggunakan kaedah ini, katanya.

Begitupun, Dr Shaiful mengingatkan setiap orang supaya serius menjaga kesihatan diri sendiri dan tidak terperangkap dalam jerat penyakit gaya hidup, terutama kencing manis dan obesiti yang disifatkan sebagai perangsang kepada pelbagai penyakit lain.

Bagi yang merokok, bertekadlah untuk berhenti merokok secepat mungkin. Rokok menggandakan risiko penyakit jantung dan serangan boleh berlaku lebih awal (usia muda).

Serangan jantung pada orang muda berlaku apabila plak kolesterol dalam salur darah mereka pecah. Darah berkumpul pada plak yang pecah ini dan akhirnya menyebabkan saluran darah tersumbat dan jika seseorang itu merokok, lebih cepatlah dia mendapat serangan jantung.

Memang kita berbangga dengan pencapaian IJN yang berjaya mencapai sasaran merawat lebih 9,600 kes berbanding 7,743 kes pada 2009, tetapi ia berita buruk kepada negara kerana menandakan semakin ramai penduduk menghidap penyakit jantung.

Sampai masanya kita nilai semula gaya hidup dan pemakanan supaya masalah ini tidak bertambah buruk, katanya.

facebook_119.php