Peria rawat diabetes

Peria rawat diabetes SEBUT saja nasi lemak, nasi tomato, rendang, gulai kawah, kuih-muih seperti bingka, gula melaka, talam cendol dan pelbagai lagi hidangan enak, siapa yang tidak teringin untuk menikmatinya.

Malah ada yang terlalu mengikut nafsu makan dan mengabaikan faktor kesihatan gara-gara daya tarikan makanan itu. Tidak dapat dinafikan makanan dan minuman manis sememangnya sedap dan menyelerakan. Namun, pernahkah anda terfikir mengenai kandungan gula dalam hidangan berkenaan?

Tabiat pemakanan tidak sihat adalah faktor utama ketidakseimbangan gula darah yang mana tubuh seseorang gagal mengawal gula dengan berkesan. Bagaimanapun, terdapat beberapa jenis herba seperti peria dan gymnema yang bermanfaat untuk kesihatan.

Peria sudah terbukti berkhasiat sejak dulu lagi dan bertindak sebagai cara penyelesaian terbaik terhadap masalah berkaitan bahagian dalaman tubuh serta merawat kencing manis.

Peria atau nama saintifiknya Momordica charantia ialah sejenis sayuran yang rasanya amat pahit, tetapi di sebalik kepahitan itu tersembunyi seribu satu khasiat untuk menjaga kesihatan tubuh badan.

Ia mempunyai banyak khasiat untuk tubuh kerana dalam setiap 100 gram peria mengandungi 92.4 peratus cecair, 1.6 peratus protein, 0.2 peratus lemak, 0.8 peratus mineral, 0.8 peratus serat dan 4.2 peratus karbohidrat.

Walaupun peria tidak diminati kerana rasa pahitnya, ia banyak manfaat. Selain itu, rasa pahitnya dapat dihilangkan dengan cara merendam di dalam air garam sebelum ia dimasak.

facebook_102.php