Makanan pengaruhi kesihatan kulit

Oleh Nor Faizah Mohamed
 
Kita adalah apa yang kita makan. Benar? Apa saja yang dimasukkan ke mulut sama ada hidangan sihat atau sebaliknya, akan mempe­ngaruhi setiap segi fizikal dan minda kita.
 
Meskipun genetik dan gaya hidup memainkan peranan penting dalam memelihara kesihatan kulit, pengambilan makanan yang betul juga banyak membantu kita mengatasi masalah jerawat dan kedutan, selain meningkatkan paras semula jadi kulit kita.
 
Apa saja yang kita lakukan untuk kulit sebenarnya hampir sama dengan apa yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kesihatan dalaman, mengawal berat badan dan memperbaiki mood.
 
Bersenam secara kerap, mendapatkan tidur yang cukup dan mengawal pemakanan bukan saja mengelakkan penyakit seperti jantung atau diabetes, malah mengurangkan masalah cela pada kulit.
 
Justeru, apakah jenis kumpulan makanan yang perlu diambil untuk tampil lebih menarik?
 
Berikut disenaraikan beberapa jenis makanan yang dapat membantu memperbaiki keadaan kulit kita, sekali gus memberi manfaat tambahan pada kesihatan keseluruhan tubuh.
 
Kekacang
 
Contoh: Badam, gajus, kacang hazel dan kacang pecan.
 
Nutrisi: Vitamin E.
 
Kebaikannya:
 
Kekacang sering disifat­kan snek berkhasiat kerana kandungan antioksidan yang tinggi. Vitamin E yang terkandung di dalamnya membantu mengatasi radikal bebas yang mengakibatkan kesan penuaan pada kulit, selain melindunginya daripada selaran ultra lembayung (UV).
 
Vitamin E juga membantu mengekalkan lembapan dalam kulit, menjadikannya lebih anjal dan tampil lebih berseri.
 
Menggandingkan vitamin E dengan selenium boleh meningkatkan kebolehan antioksidan yang ditawarkan­nya.
 
Jadi apabila diri ingin mengunyah kudapan, ambil hidangan badam yang dicampur bersama keju cottage (sumber selenium) sebagai satu cara pemulihan kulit.
 
Kacang pistasio dan walnut juga menawarkan khasiat lemak omega-3 yang sememangnya baik untuk kulit.
 
Sayuran
 
Contoh: Bayam, selada Rom, chard Swiss, kubis daun dan lobak.
Nutrisi: Lutein, beta karotena, vitamin A.
 
Kebaikannya:
 
Kulit adalah organ terbesar tubuh. Justeru apa yang baik untuk seluruh tubuh juga baik untuk kulit kita. Dalam banyak ­pilihan makanan, tiada yang dapat menandingi sayur-sayuran. 
 
Sayuran berwarna jingga-merah seperti lobak, keledek dan bayam kaya dengan beta-karotena. Tubuh kita menukarkan beta-karotena ini kepada vitamin A yang bertindak sebagai antioksidan bagi mencegah kerosakan sel serta penuaan pramatang.
 
Dalam sesetengah kes, vitamin A memberi manfaat sebagai antijerawat dan banyak digunakan dalam produk akne (dikenali Retin-A).
 
Sayuran hijau lain menawarkan khasiat yang membantu kulit menghasilkan sel baru lalu menyingkirkan yang lama. Ia juga mengurangkan kekeringan dan menjaga kulit agar sihat, cerah dan anjal.
 
Makanan laut
 
Contoh: Salmon, sardin dan tiram.
Nutrisi: Asid lemak omega-3 dan zink.
 
Kebaikannya:
 
Ramai kalangan kita pernah dengar bahawa makanan laut sememangnya baik untuk kesihatan fizikal dan mental, lalu tidak hairanlah ia menjadi komponen utama dalam rejim diet dikenali sebagai ‘Diet Mediterranean’.
 
Nutrien utama pada ikan sememangnya baik untuk penampilan kulit cerah. Pengambilan omega-3 dalam makanan laut ini membantu mengurangkan kekeringan dan menghindarkan masalah radang kulit.
 
Keradangan berupaya membuatkan kulit tua lebih awal daripada sepatutnya dan kajian mendapati kekurangan omega-3 akan menyumbang kepada masalah radang seperti ekzema dan psoriasis.
 
Asid lemak omega-3 juga membantu menjaga saluran darah jantung, sekali gus meningkatkan peredarannya. Peredaran yang baik penting untuk kesihatan kulit.
 
Zink membantu mengatasi jerawat kerana ia membabitkan metabolisme testosteron yang memberi kesan kepada pengeluaran bahan berminyak dikenali sebum punca utama jerawat. 
 
Zink tidak ketinggalan membantu pengeluaran sel dan menyingkirkan kulit mati lalu memberikan hasil kulit lebih berseri.
 
Buah-buahan
 
Contoh: Strawberi dan buah-buahan sitrus.
Nutrien: Vitamin C dan serat.
 
Kebaikannya:
 
Vitamin C adalah bahan utama dalam produk kecantikan khususnya krim pelembap dan tabir suria. 
 
Vitamin ini membantu meng­galakkan penghasilan kolagen yang berupaya memperbaiki struktur kulit lemah.
 
Kolagen mulai lemah kala usia meningkat 30-an yang menyebab­kan kulit hilang keanjalan lalu memudahkan penampilan kedutan dan bintik hitam.
 
Mengambil vitamin C menerusi makanan seperti oren, limau gedang, ceri Acerola (sebiji ceri Acerola membekalkan 100 peratus sumber vitamin C yang diperlukan dalam sehari) dan tomato membantu menganjalkan semula kulit dan mengurangkan garis kedutan.
 
Vitamin C juga berupaya menentang keradangan dan sumber antioksidannya membantu meneutralkan radikal bebas yang merosakkan sel kulit. 
 
Lada benggala dan tauge turut mengandungi vitamin C yang sama jumlahnya seperti dalam buah-buahan.
 
Bijian penuh
 
Contoh: Roti dan pasta.
Nutrisi: Serat, folat, magnesium dan riboflavin. 
 
Kebaikannya: 
 
Secara amnya, bijian penuh berbanding karbohidrat yang diproses dapat memperbaiki struktur kulit. Tepung yang diproses (atau diperhaluskan) boleh menyebabkan peningkatan insulin, sekali gus menggalakkan akne. 
 
Sebaiknya pilih roti gandum penuh dan bukannya roti putih, sementara gandum kuda atau buckwheat bertindak sebagai antioksidan yang membantu mengatasi masalah membabit­kan keradangan kulit.
 
Germa gandum pula ­memberikan khasiat biotin vitamin B yang membantu ­pemprosesan sel lemak. Jika tubuh kekurangan biotin, kulit boleh menjadi kering dan bersisik.
 
Menggantikan tepung pemprosesan biasa dengan tepung gandum kuda adalah langkah bijak kerana ia juga membantu mengurangkan risiko diabetes.
 
Sumber :
Harian Metro Online
hmetro.com.my 
 

Rawatan dan Sihat Tanpa Ubat BioVCO

Baca Juga Info Kesihatan Berikut :

9 Tanda Anda Mengalami Gangguan Tiroid
Cara Mengawal Tahap Kolesterol
9 Tanda Awal dan Simptom Kencing Manis
Makanan Terbaik Apabila Anda Mengalami Jangkitan Resdung
Makanan dan Minuman Untuk Penyembuhan Tonsilitis
Menurunkan Berat Badan Dengan Pemakanan Ini
Kekalkan Dan Mengatasi Penyakit Dengan Pemakanan

$alt2