<?php echo $tajuk; ?>


Pastikan dapat cukup khasiat untuk bayi



Pastikan dapat cukup khasiat untuk bayi MAKANAN yang begitu digemari, tiba-tiba terasa memualkan tekak. Kalau dulu, tidak menjadi masalah menghadap menu nasi campur setiap hari tetapi kini, mendengarnya saja membuatkan tekak kembang, apa lagi jika mahu menjamahnya.

Bermacam-macam pengalaman baru dilalui ibu hamil. Perubahan secara tiba-tiba kadangkala menimbulkan rasa pelik orang sekeliling dan sukar difahami mereka yang tidak pernah mengalaminya.

Namun, begitulah situasi yang perlu dihadapi wanita mengandung hinggakan ada kalanya banyak bauan yang mereka tidak boleh kompromi serta dirasakan mengganggu ketenangan, misalnya tumisan cili daripada gerai berhampiran mahupun bau bawang putih yang pada ketika tidak hamil, bukan masalah besar jika terhidu.

Walaupun banyak makanan sukar masuk ke mulut akibat loya dan muntah- muntah, wanita hamil perlu memastikan mereka mengambil makanan seimbang daripada semua kelas makanan.

Ketika hamil, pelbagai persoalan bermain di benak fikiran sama ada mereka boleh makan makanan tertentu atau sebaliknya. Ini disebabkan banyak makanan dikaitkan dengan kesan baik dan mudarat pada wanita mengandung mengikut kepercayaan sesuatu kaum.

Ada empat kelas makanan dalam piramid makanan yang perlu diambil berat iaitu kelas keempat, karbohidrat; kelas ketiga (buah-buahan dan sayuran), kelas kedua (makanan tenusu dan protein daging manakala kelas pertama (manisan).

Perunding Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pantai Klang, Dr Tricia Thomas, berkata wanita hamil perlu mengambil hidangan daripada kelas tertentu mengikut peratusan yang dinasihatkan dan makan lebih kerap, sekurang-kurangnya tiga hidangan yang normal iaitu pagi, tengah hari dan malam.

Mereka juga perlu mengambil dua atau tiga hidangan kecil antara hidangan besar berkenaan iaitu di antara waktu sarapan pagi dengan makan tengah hari dan waktu petang, bergantung kepada keadaan wanita terbabit.

Tiga bulan pertama kehamilan iaitu dari awal kehamilan hingga 12 minggu, wanita terbabit biasanya mengalami muntah-muntah. Waktu itu, mungkin sukar untuk mereka menjamah lebih banyak makanan.

Untuk mengelakkan dehidrasi, mereka perlu minum air yang mencukupi dan elakkan makanan berminyak serta makanan yang boleh menyebabkan mereka muntah-muntah.

Bergantung kepada individu, wanita itu sendiri boleh mengenal pasti hidangan yang boleh mereka ambil serta makanan yang mudah menyebabkan mereka muntah.

Ada yang menganggap wanita hamil perlu makan lebih banyak kerana mereka makan untuk dua orang. Sebenarnya, mereka tidak perlu berbuat demikian tetapi penting untuk memastikan mendapat keperluan zat dan vitamin yang cukup untuk tumbesaran janin.

“Lebihkan pengambilan makanan yang tawar manakala jika loya dan muntah-muntah dialami terlalu teruk hingga menyebabkan kekurangan air dalam badan, wanita terbabit dinasihatkan bertemu doktor.

“Proses menggantikan kehilangan air dalam badan akan dilakukan dan wanita terbabit ditahan di wad hingga keadaan kesihatannya stabil,” katanya.

Sebaik-baiknya mereka minum air yang dimasak kerana air tapisan biasanya masih mengandungi bakteria. Seperti orang biasa, keperluan wanita hamil ialah lapan gelas sehari.

Makanan masam mungkin boleh membantu mengatasi loya tetapi ia perlu diambil dalam kuantiti sederhana.

Untuk memenuhi keinginan menikmati makanan yang diidam juga ada hadnya. Elakkan mengambil dalam kuantiti terlalu banyak, sebaliknya makan dalam kuantiti sederhana dan hidangan yang ada dalam kelas makanan.

Makanan seperti salad dan ulam boleh dimakan ketika hamil tetapi perlu dipastikan benar-benar bersih. Makanan mentah seperti sushi tidak digalakkan dimakan kerana mungkin mengandungi bakteria jika tidak disediakan dengan baik.

Sajian panggang atau salai seperti salmon dan daging juga perlu dielakkan kerana dikhuatiri tidak dimasak dengan betul atau masih mentah kerana mungkin mengandungi bakteria seperti listeria dan salmonella. Kehadiran bakteria salmonella misalnya boleh menyebabkan cirit-birit.

Pengambilan makanan yang tidak dipasteurkan seperti keju dan susu segar daripada ladang juga perlu dielakkan kerana dikhuatiri mengandungi bakteria.

Hindarkan ikan marlin, ikan yu dan makanan laut jenis kerang-kerangan mempunyai kandungan merkuri yang tinggi, sebaliknya ikan yang berminyak seperti salmon, kod, tilapia dan keli baik dimakan kerana mengandungi Omega 3 yang baik untuk kesihatan.

Bagaimanapun, usah diambil dalam kuantiti yang terlalu banyak, sebaliknya memadai dua atau tiga hidangan seminggu.

Pelbagai tanggapan dan andaian dikaitkan dengan telur ikan, udang atau sotong yang dikatakan mempunyai kolesterol tinggi atau boleh memberi kesan sampingan. Jika orang biasa pun tidak digalakkan makan terlalu banyak jenis telur berkenaan, apatah lagi ibu hamil.

Bolehkah mereka memakannya? Dr Tricia berkata, telur ikan atau sotong boleh dimakan wanita hamil tetapi dalam kuantiti sederhana. Begitu juga daging kambing dan lembu yang dikatakan ‘panas,’ wanita hamil masih boleh memakannya tetapi dalam kuantiti sederhana.

“Jangan tersalah anggap mengenai pendarahan yang berlaku pada wanita mengandung. Ia bukan disebabkan mengambil makanan ‘panas’ tetapi berpunca daripada kedudukan uri yang rendah atau disebabkan perubahan hormon.

“Semua kaum mempunyai kepercayaan tersendiri mengenai makanan yang boleh memberi kesan buruk jika diambil wanita mengandung, bagaimanapun tiada bukti kukuh mengenai teori berkenaan.

“Orang Cina, misalnya menganggap makanan ‘sejuk’ tidak boleh diambil ketika hamil, manakala orang Melayu percaya makanan ‘panas’ memberi kesan sampingan kepada ibu dan bayi dalam kandungan,” katanya.

Memakan nanas pula dikatakan boleh menggugurkan kandungan dan ia kepercayaan kebanyakan kaum. Sebenarnya, ia bergantung kepada tubuh wanita berkenaan kerana ada ibu hamil yang terminum jus nanas tetapi tiada kesan mudarat. Jika teringin, makan dalam kuantiti sedikit kerana buah ini tidak sesuai dimakan ketika awal kehamilan.

Dr Tricia berkata, kafein sememangnya diketahui tidak baik untuk kesihatan dan ibu mengandung perlu mengelakkan pengambilan minuman itu.

Jika ibu hamil menggemari kopi, cuba hadkan pengambilan minuman itu kepada satu gelas sehari. Sementara itu, teh dan koko cuma mempunyai sedikit kafein berbanding kopi.

Ubat-ubatan dan herba juga perlu diberi perhatian kerana ada ubat yang boleh menjejaskan kandungan, terutama ketika proses pembentukan janin.

Wanita hamil memerlukan zat besi antara 30 hingga 60 gram sehari. Zat besi dan asid folik penting untuk mengelakkan kekurangan darah (anemia) dan ada kaitan dengan pembentukan saraf dan otak yang tidak sempurna pada bayi.

Dalam sesetengah keadaan, kekurangan zat besi dan asid folik menyebabkan ‘neural tube defects’ iaitu jenis kecacatan dalam otak seperti spina bifida, encephalocoele (otak membengkak menyebabkan kepala besar) dan anencephaly (tiada tengkorak).

Pada tiga bulan sebelum hamil, ibu hamil perlu mengambil 400 mikrogram asid folik sehari dan ia harus diteruskan sepanjang kandungan.

Vitamin C perlu untuk penyerapan zat besi bagi menghindari anemia. Biasanya, semua ubat berkenaan dibekalkan doktor. Apapun, jika ibu hamil mengamalkan pemakanan harian seimbang, keperluan vitamin C dan D untuk dirinya dan kandungan sudah mencukupi.

Bagi golongan pemakan sayur-sayuran (vegetarian), mereka boleh mendapatkan protein daripada kekacang seperti soya, kacang kuda, kacang hijau, kacang tanah dan kacang pinto.

Sumber protein lain ialah daripada bijirin penuh seperti oat, barli, roti dan nasi. Beras perang lebih banyak vitamin daripada beras putih. Selain itu, ibu hamil di kalangan vegetarian juga boleh mendapatkannya daripada bijirin dan pasta.

Menurutnya, bijirin penuh mengandungi kandungan vitamin B yang tinggi. Jenis kekacang seperti almond, badam, gajus, macadamia turut mempunyai protein dan sumber Omega 3 menggantikan daging.

Sumber kalsium pula banyak ditemui dalam sayur hijau, kekacang, susu dan tempe. Vitamin D juga penting untuk bayi dalam kandungan. Ia turut diperoleh daripada pancaran cahaya matahari.

Ada ibu hamil teringin makan benda pelik seperti sabun, arang atau tanah. Tidakkah tindakan mereka memakan makanan berkenaan memudaratkan kesihatan? Sebenarnya, mengidam makanan pelik mungkin menunjukkan ibu hamil kekurangan zat mineral tertentu dalam tubuh, terutama zat besi. Makan benda pelik tidak digalakkan kerana dikhuatiri memberi kesan buruk kepada kandungan.

Kuantiti kalori untuk wanita biasa yang tidak mengandung antara 1,600 hingga 2,000 kalori sehari. Pada tiga bulan (trimester) pertama (kehamilan 0 hingga 13 minggu), keperluan itu meningkat sehingga 85 kalori sehari, menjadikan keperluan mereka antara 1,685 hingga 2,085 kalori sehari.

Ketika trimester kedua (kehamilan 13 hingga 28 minggu), keperluan untuk mereka meningkat sehingga 285 kalori sehari, manakala trimester ketiga (kehamilan 28 hingga 40 minggu), peningkatan keperluan kalori ialah 475 kalori sehari.

Testimoni minyak kelapa dara ibu dan bayi

Testimoni minyak kelapa dara ibu dan bayi

Manfaat dan kehebatan Minyak Kelapa Dara yang mesti diketahui ! KLIK DISINI


RAWATAN dan SIHAT tanpa UBAT Klik Disini






<?php echo $tajuk; ?>




beli minyak kelapa dara via SMS';







Penafian

- Maklumat yang diberikan tidak sepatutnya digunakan untuk mengenalpasti atau mengubati sebarang jenis penyakit. Sila rujuk kepada doktor atau ahli perubatan yang terlatih dan bertauliah untuk tujuan mengenalpasti jenis penyakit dan rawatan yang bersesuaian. Semua testimoni adalah berdasarkan pengalaman sebenar pengguna dan belum diuji secara klinikal, kesannya mungkin berbeza antara seseorang individu dengan individu yang lain.. - ** Harap maklum - webmaster.