<?php echo $tajuk; ?>


Botak di awal usia



Botak di awal usia MASALAH keguguran rambut yang serius sehingga menyebabkan kepala menjadi botak selalu dikatakan hanya dialami mereka yang semakin meningkat usia iaitu ketika berumur 40 tahun ke atas.

Namun, kenyataannya bukan begitu kerana masalah ini turut boleh membelenggu diri jejaka yang baru berumur 20-an.

Tidak mengetahui apakah punca sebenar kepada masalah ini, golongan lelaki yang selalu menjadi mangsa sering mencari jalan penyelesaian sendiri tanpa mendapatkan nasihat atau rawatan daripada pakar bergelar doktor.

Pada anggapan mereka, masalah ini adalah normal yang disebabkan faktor persekitaran seperti pemilihan produk rambut, kesihatan, pencemaran, tekanan di tempat kerja dan sebagainya.

Menurut Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr Steven Chow, masalah ini dikenali sebagai Androgenetic Alopecia atau AGA iaitu pola keguguran rambut lelaki yang berkaitan dengan tahap hormon dalam tubuh.

Penyakit ini bercirikan rambut yang semakin jarang, bermula daripada bahagian pelipis atau mercu kepala atau kedua-duanya sekali. Jika tidak dirawat, AGA diketahui akan melarat dan rambut pada pelipis akan semakin menyusut.

Sejambul rambut akan tertinggal pada bahagian hadapan dan kawasan botak di mercu kepala pula semakin membesar. Akhirnya, kawasan rambut gugur di bahagian hadapan dan mercu kepala itu akan bertemu serta menyebabkan bahagian atas kepala menjadi semakin botak. Maka, yang tinggal hanyalah rambut di bahagian sisi dan belakang kepala.

Wanita juga boleh mengalami keguguran rambut dengan pola ini tetapi bentuk kehilangan rambut mereka sedikit berbeza apabila kehilangan rambut dari bahagian tepi garisan rambut.

AGA terjadi akibat interaksi hormon terhadap kulit kepala lelaki yang mempunyai risiko genetik dan akhirnya menjejaskan kitaran pertumbuhan rambut normal.

AGA lazimnya dihidap oleh golongan lelaki berusia antara 25 hingga 50 tahun ke atas. Ia dikesan apabila kitaran pertumbuhan rambut menjadi lebih singkat di mana rambut akan gugur sebelum ianya sempat menjadi panjang dan tebal.

Perubahan terjadi pada pertumbuhan rambut akibat interaksi antara hormon testosteron dengan enzim 5 alfa reduktase (5aR) yang lantas menyebabkan AGA.

Apabila pertumbuhan rambut tidak memadai, rambut mula menjadi jarang dengan ketara secara keseluruhannya dan kawasan itu lama kelamaan akan berkembang dan mengakibatkan masalah kepala botak.

“Untuk pengetahuan, ada tiga peringkat kitaran pertumbuhan rambut yang normal iaitu anagen (pertumbuhan), katagen (berehat) dan telogen (pertumbuhan semula). Pada peringkat anagen, ia menunjukkan proses rambut baru tumbuh dari dasar folikel dan fasa ini lazimnya berlangsung selama beberapa tahun untuk menghasilkan rambut yang tumbuh sepenuhnya.

“Tahap katagen pula menyaksikan rambut berhenti daripada tumbuh manakala akar rambut mengecut. Dasar folikel akan berkecai dan rambut bergerak naik di dalam folikel, menjauhi akar dan salur darah yang membekalkan rambut dengan khasiat.

“Untuk peringkat telogen, rambut yang kini matang hanya terikat secara longgar pada akar rambut. Rambut ini pula kebiasaannya gugur selepas beberapa bulan atau ditolak keluar oleh rambut seterusnya yang tumbuh dari bahagian bawah,? katanya yang ditemui pada pelancaran kempen pendidikan AGA.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Sains Rambut Malaysia (MSHS), berkata pola progresif AGA berbeza bagi setiap orang mengikut usia pesakit itu menghidapnya dan kadar kepantasan rambut menjadi jarang.

Semakin lama, rambut pada pelipis semakin menyusut. Sejambul rambut akan tertinggal pada bahagian hadapan dan kawasan botak di mercu kepala semakin membesar.

Menurutnya, faktor lain yang menyebabkan AGA adalah jantina, sejarah keluarga dan tekanan jiwa. Lelaki pada umumnya lebih berkemungkinan akan mengalami keguguran rambut kerana mereka lebih banyak menghasilkan testosteron.

Seseorang itu juga akan lebih cenderung menghidap AGA jika sebelum ini ahli keluarga seperti ayah, bapa saudara dan datuk pernah mengalaminya. Lazimnya, kira-kira 30 peratus lelaki yang berusia 30 tahun dan 50 peratus lelaki berusia 50 tahun akan mengalami sesuatu bentuk keguguran rambut.

Tekanan jiwa yang kronik boleh mempercepatkan AGA yang todak dapat dielakkan ini manakala keguguran rambut berterusan boleh mengakibatkan kesan psikologi serius terhadap sesetengah lelaki. Ia sering dikaitkan dengan rasa rendah diri, kemurungan, lebih suka memendam perasaan, berasa kurang disukai, merasakan dirinya hodoh dan berasa kurang berjaya.

Tegas Dr Chow, AGA adalah sejenis penyakit yang boleh dirawat dan doktor adalah orang yang paling sesuai untuk menasihati anda selepas melakukan penilaian klinikal secara menyeluruh.

“Dengan menggunakan Skala Norwood Hamilton, doktor boleh mengenal pasti peringkat keguguran rambut, mencatatkan tahap keguguran rambut dengan teliti melalui ukuran atau gambar dan memberikan nasihat mengenai langkah-langkah memulihkannya.

“Ia boleh dibantu melalui rawatan preskripsi, bantuan kosmetik, sistem rambut dan kaedah alternatif. Finasteride diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat dan Kementerian Kesihatan untuk rawatan AGA oleh doktor. Ia adalah ubat preskripsi yang sudah terbukti secara saintifik berkesan mengembalikan folikel rambut kepada saiznya yang normal.

“Inilah satu-satunya ubat makan yang disarankan untuk merawat punca utama AGA dengan mengurangkan aras dihidrotestosteron atau DHT di dalam serum dan kulit kepala melalui tindakan menyekat enzim 5 alfa reduktase,? katanya.

Ia terbukti dapat mencegah pengecutan folikel rambut yang sedia ada dan dapat membesarkan folikel rambut untuk menampakkan hasilnya. Kajian menunjukkan bahawa pertumbuhan semula rambut diperhatikan pada 66 peratus lelaki dan keguguran rambut pula distabilkan pada 33 peratus lelaki selepas susulan selama dua tahun dengan rawatan yang terbukti secara klinikal.

Rawatan lain pula boleh didapati menerusi Minoxidil yang hadir dalam bentuk cecair untuk disapu pada kulit kepala. Terapi ini dapat diterima dengan baik dan mempunyai hanya sedikit kesan sampingan saja.

Cara minoxidil merawat keguguran rambut masih tidak diketahui tetapi dianggap bahawa ia bertindak untuk meningkatkan aliran darah dan khasiat ke folikel rambut yang sudah mengecut. Minoksidil ini untuk kegunaan luaran saja dan mestilah disapukan pada folikel rambut yang aktif.

Pertumbuhan semula lebih berkemungkinan akan terjadi jika ada sebilangan besar folikel rambut yang hanya separa kecut. Berapa cepat keguguran rambut dihentikan dan kadar pertumbuhan semula sekali lagi adalah akan berbeza bagi setiap orang.

Produk kosmetik dan barangan yang boleh dibeli terus daripada kedai boleh menyembunyikan keguguran rambut dengan mengurangkan perbezaan antara kawasan keguguran rambut.

Dr Chow menasihati kaum lelaki tidak perlu terseksa kerana masalah ini. Melalui rundingan yang betul dengan doktor, keguguran rambut boleh ditangani dan dipulihkan.

“Saya ingin mengingatkan semua lelaki termasuklah pasangan atau keluarga masing-masing yang bimbang supaya tidak memilih rawatan alternatif yang tidak terbukti secara klinikal kerana rawatan begini kurang berhasil dan akhirnya akan mengecewakan mereka apatah lagi apabila sudah membelanjakan sejumlah wang namun masih lagi tidak membawa kejayaan.

“Penghidap AGA juga perlu sentiasa merujuk kepada doktor perubatan hari ini kerana klinik yang merawat AGA ada di Malaysia,? katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Merck Sharp & Dohme (MSD) Malaysia, Ewe Kheng Huat, berkata kempen pendidikan AGA ini adalah usaha syarikat terhadap yang begitu komited untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai masalah AGA.

“Kami percaya, dengan pengetahuan yang betul, golongan lelaki akan mengetahui cara terbaik untuk menangani masalah ini. Ia amat penting supaya mereka tidak menganggap atau terpaksa menanggung masalah ini bersendirian dan sentiasa dalam keadaan kecewa.

“Sudah tiba masanya kaum lelaki mendapatkan pengetahuan dan rawatan yang sedia ada,? jelasnya mengenai kempen yang mengandungi tiga mesej penting iaitu akui (fahami, terima dan sedar mengenai AGA), gerak (rujuk pada doktor dan dapatkan nasihat yang betul) dan apakah (tanya tentang pilihan yang sedia ada).

Perkembangan AGA:


1. Androgen (hormon lelaki), terutamanya hormon testosteron, terdapat di dalam folikel rambut. Di dalam folikel rambut juga terdapat enzim yang digelar 5 alfa reduktase (5aR).

2. Apabila testosteron berinteraksi dengan enzim berkenaan, hormon ini ditukarkan kepada dihidrotestosteron atau DHT. DHT yang berlebihan di dalam akar rambut menyebabkan fasa anagen dalam kitaran rambut akan disingkatkan lalu mengakibatkan rambut yang lebih pendek, lebih halus, dan kurang jelas kelihatan.

3. Ini biasanya terjadi di kawasan puncak (bahagian teratas kepala) dan pada garisan rambut (pola keguguran rambut lelaki klasik). Apabila DHT beraras tinggi di dalam kulit kepala lelaki yang cenderung menghidap AGA atas sebab genetik, fasa pertumbuhan rambut menjadi singkat, folikel rambut semakin mengecut, menjadikan rambut lebih pendek, lebih halus dan lebih ringan serta bilangan rambut yang dapat dilihat semakin berkurangan.

Fakta mengenai rambut:


1. Rambut adalah tisu paling cepat tumbuh pada tubuh.

2. 35 meter serat rambut dihasilkan setiap hari pada tempurung kepala golongan dewasa.

3. Secara umumnya, tempurung kepala ditumbuhi 100,000 helai rambut (untuk rambut hitam), 80,000 (merah), perang (120,000).

4. 90 peratus tempurung kepala ditumbuhi rambut manakala 10 peratus lagi ‘berehat’.

5. Penggunaan banyak bahan kimia boleh menyebabkan masalah keguguran rambut.

6. Kekurangan zat besi dan ketidakseimbangan tiroid boleh juga menyebabkan masalah keguguran rambut.

7. Hampir 50 peratus lelaki akan mula berhadapan dengan masalah keguguran rambut pada usia 50 tahun.

8. Pada usia 50 tahun juga, kebanyakan wanita mula putus haid dan akan berhadapan dengan masalah sama.

Mitos mengenai masalah keguguran rambut


1. Ia disebabkan kekerapan membasuh rambut.

2. Ia disebabkan kerap menyikat rambut.

3. Mewarna dan kerinting rambut boleh menyebabkan kehilangan rambut secara kekal.

4. Ia disebabkan anda kerap memakai tudung, topi dan rambut palsu.

5. Kerap menggunting rambut menyebabkan rambut semakin nipis.

6. Ia tanda anda kuat berfikir.



<?php echo $tajuk; ?>




beli minyak kelapa dara via SMS











Penafian

- Maklumat yang diberikan tidak sepatutnya digunakan untuk mengenalpasti atau mengubati sebarang jenis penyakit. Sila rujuk kepada doktor atau ahli perubatan yang terlatih dan bertauliah untuk tujuan mengenalpasti jenis penyakit dan rawatan yang bersesuaian. Semua testimoni adalah berdasarkan pengalaman sebenar pengguna dan belum diuji secara klinikal, kesannya mungkin berbeza antara seseorang individu dengan individu yang lain.. - ** Harap maklum - webmaster.