<?php echo $tajuk; ?>


Gejala hormon tiroksin



Gejala hormon tiroksin GEJALA berat badan meningkat, kulit kering, muka sembap, rambut rapuh dan gugur, kerap letih, mengantuk, pergerakan dan tindak balas menjadi perlahan sering dianggap sebagai perkara semula jadi dalam proses penuaan, terutama bagi wanita yang memasuki era 40-an.

Boleh dikatakan hampir semua orang turut mengalami gejala sama, tetapi pada tahap berbeza. Namun, hakikatnya ia bukan sebahagian daripada proses semula jadi penuaan kerana ada orang masih mampu bergiat aktif, nampak awet muda, cergas dan tajam fikirannya, walaupun usia melebihi separuh abad.

Perkara ini berpunca daripada kekurangan hormon tiroksin yang dihasilkan daripada kelenjar tiroid. Tiroid adalah kelenjar kecil berbentuk rama-rama yang terletak di pangkal leher (di bawah halkum bagi lelaki).

Ia menghasilkan beberapa jenis hormon iaitu tiroksin (T4) dan liothyronine (T3) yang sangat penting bagi kesihatan badan secara keseluruhan.

Hormon tiroksin juga diperlukan dalam semua aktiviti metabolisme, termasuk penentuan kadar degupan jantung dan kecekapan badan membakar kalori daripada makanan. Namun, ada masanya kelenjar tiroid tidak dapat berfungsi dengan cekap dan menjadi tidak aktif, menyebabkan penghasilan hormon tiroksin terganggu.

Keadaan kelenjar tiroid tidak aktif ini dipanggil hipotiroidisme. Kekurangan hormon tiroksin menjejaskan fungsi badan secara keseluruhan. Sebenarnya, berjuta orang di dunia ini mengalami masalah hipotiroidisme, tetapi tidak menyedarinya kerana gejala kekurangan hormon tiroksin bersifat sangat umum.

Dianggarkan 200 juta penduduk dunia mengalami masalah ini. Bagaimanapun, tidak ramai mendapatkan rawatan kerana gejala dialami dianggap perkara biasa. Masalah hipotiroidisme lebih kerap berlaku pada wanita (tujuh hingga lapan peratus) berbanding lelaki iaitu hanya tiga peratus.

Dalam erti kata lebih mudah, hipotiroidisme berlaku pada satu daripada enam wanita dan satu daripada 12 lelaki. Ia juga boleh terjadi pada bayi dan kanak-kanak, tetapi kadarnya lebih rendah iaitu satu kes bagi 4,000 orang dan kanak-kanak perempuan mempunyai kebarangkalian dua kali lebih tinggi mengalami hipotiroidisme berbanding lelaki.

Jumlah pesakit meningkat dengan pertambahan umur. Dianggarkan antara 10 hingga 20 peratus wanita berusia 40 tahun ke atas mengalami masalah ini dan meningkat kepada 15 hingga 20 peratus apabila mencecah umur 60 tahun. Bagi lelaki berumur 60 tahun ke atas, catatan kes hanya sekitar lima hingga 10 peratus.

Bagaimanapun, hipotiroidisme boleh berlaku pada semua peringkat usia, sama ada warga emas berumur 80 tahun atau janin dalam kandungan, kata Pakar Endokrinologi Hospital Putrajaya, Dr Zanariah Hussein.

"Masalah ini jarang disedari. Pada peringkat awal, kekurangan hormon tiroksin mungkin tidak menimbulkan tanda, tetapi lama kelamaan pesakit mengalami pelbagai gejala, termasuk degupan jantung menjadi lambat, peningkatan berat badan, sakit sendi dan masalah kesuburan.

"Oleh kerana tandanya tidak jelas dan bersifat sangat umum, ia tidak dianggap masalah. Pada peringkat awal pesakit mungkin berasa sedikit letih dan mengantuk, sengal badan serta sukar memberi tumpuan pada pekerjaan.

Dr Zanariah berkata, jika tidak dirawat, lama kelamaan tanda kekurangan hormon tiroksin menjadi lebih ketara dan serius. Kelenjar tiroid yang lemah dipaksa terus bekerja menghasilkan hormon tiroksin dan akhirnya boleh menyebabkan ia membengkak (dipanggil goiter).

Apabila ini berlaku, ia memperlahankan proses pemikiran, menyebabkan pesakit menjadi pelupa dan mudah tertekan. Pada keadaan lebih serius, kekurangan hormon mengancam nyawa kerana ia mengakibatkan suhu badan dan tekanan darah menurun, sukar bernafas serta koma. Namun, kes seperti ini sangat jarang berlaku.

Punca


Beberapa punca boleh menyebabkan hipotiroidisme iaitu:

Penyakit Hashimoto Keadaan di mana sistem imun mengganggu fungsi kelenjar tiroid.

Rawatan bagi masalah hipertiroidisme (kelenjar tiroid terlalu aktif) Ia termasuk ubat anti tiroid, pembedahan atau radioaktif iodin.

Tiroiditis pospartum Keradangan kelenjar tiroid yang biasanya berlaku selepas wanita muda melahirkan anak. Keradangan ini boleh menyebabkan masalah hipo atau hipertirodisme. Biasanya bersifat sementara, namun ia boleh berlanjutan dan perlu dirawat.

Hipotiroidisme kongenital Bayi dilahirkan tanpa kelenjar tiroid atau kelenjar tiroid mereka hanya terbentuk separuh. Ada juga bayi dilahirkan dengan kelenjar tiroid berada pada tempat salah (dipanggil ektopik tiroid).

Dalam sesetengah kes, kelenjar tiroid bayi boleh berfungsi dan menghasilkan cukup hormon untuk seketika. Bagaimanapun, kelenjar yang tidak terbentuk sempurna itu tidak mampu menghasilkan cukup hormon apabila kanak-kanak berkenaan membesar.

Kekurangan iodin Kelenjar tiroid memerlukan iodin untuk menghasilkan hormon tiroksin. Iodin diperoleh daripada makanan yang masuk ke dalam aliran darah sebelum sampai ke kelenjar tiroid. Masalah ini jarang berlaku di negara kita. Ia biasanya terjadi pada penduduk yang tinggal di kawasan pergunungan.

Penyakit tiroid dan kesuburan


Menurut Perunding Endokrinologi Pusat Perubatan Subang Jaya, Dr Arlene Ngan, sama ada kelenjar tiroid terlalu aktif atau tidak, kedua-duanya memberi kesan kepada kesuburan wanita yang menyebabkan mereka sukar hamil.

Ada pakar menyarankan wanita yang mengalami masalah haid atau ketidaksuburan juga sepatutnya menjalani pemeriksaan penyakit tiroid. Kekurangan hormon tiroksin bukan saja menyebabkan wanita sukar hamil, tetapi boleh mengakibatkan keguguran.

Wanita yang ada masalah tiroid dinasihat mendapatkan nasihat doktor terlebih dulu sebelum hamil bagi mengelak masalah sama ada pada ibu atau bayi.

Namun, pesakit tiroid wanita yang menerima rawatan tiroksin perlu meneruskan pengambilan ubat sepanjang kehamilan tanpa rasa takut kerana ia selamat.

"Tiroksin adalah hormon semula jadi yang diperlukan bagi semua orang, termasuk bayi dalam kandungan. Bagi pesakit hipotiroidisme yang hamil, kekurangan hormon ini boleh menjejaskan perkembangan otak bayi yang menyebabkan bayi mungkin mempunyai IQ rendah.

"Biasanya ketika hamil, keperluan hormon tiroksin meningkat. Justeru, ramai wanita berisiko mengalami masalah kekurangan hormon tiroksin ketika hamil. Ini sebabnya wanita disaran menjalani saringan kesihatan untuk mengetahui sama ada mereka mengalami masalah ini atau tidak demi anak dalam kandungan," kata Dr Ngan.

Ujian pengesahan


Pemeriksaan atau diagnosis untuk mengetahui sama ada seseorang itu ada masalah kelenjar tiroid sangat mudah, iaitu melalui ujian darah dan boleh dilakukan oleh doktor biasa. Sampel darah anda dihantar ke makmal untuk diuji kandungan hormon tirotropin (dipanggil ujian TSH). Tahap TSH normal ialah antara 0.4 hingga 2.5 mU/l. Jika paras TSH anda melebihi tahap ini (4 hingga 10 mU/l) bermakna anda mengalami hipotirodisme.

Pemeriksaan ini lebih digalakkan bagi:

Wanita hamil dan menopaus.

Orang tua, terutama yang mengalami masalah fungsi fizikal dan kognitif (pemikiran).

Individu yang ada sejarah keluarga atau diri sendiri mengalami hipotiroidisme.

Pesakit jantung.

Individu yang ada masalah kolesterol tinggi.

Pesakit yang ada sedikit kegagalan kelenjar tiroid.

Individu yang ada masalah degupan jantung terlalu perlahan (kurang 50 degupan seminit).

Bagaimanapun, pesakit disaran berjumpa doktor pakar jika berumur kurang 18 tahun, tidak bertindak balas terhadap rawatan, wanita hamil, menghidap penyakit jantung atau lain-lain penyakit endokrin serta ada ketumbuhan atau bengkak pada kelenjar tiroid.

Rawatan


Walaupun gejalanya tidak ketara, tetapi jika tidak dirawat, hipotiroidisme boleh menyebabkan kegagalan jantung. Kekurangan hormon tiroksin memperlahankan degupan jantung kepada 50 atau 60 degupan seminit.

Bagi wanita hamil, kekurangan tiroksin memberi kesan negatif pada perkembangan otak bayi, bayi lambat membesar dan meningkatkan risiko keguguran. Masalah kekurangan hormon ini secara umumnya meningkatkan risiko sakit jantung, meninggikan paras kolesterol, dinding salur darah menjadi keras yang menyebabkan tekanan darah tinggi.

Ini sebabnya pesakit perlu menjalani terapi penggantian hormon dalam bentuk pil makan yang diambil setiap hari sepanjang hayat. Tablet natrium levothyroxine perlu diambil 30 minit sebelum makan untuk meningkatkan penyerapan hormon.

"Doktor akan menentukan dos sesuai bagi pesakit supaya tidak berlaku berlebihan dos. Tiada halangan untuk mengambil ubat ini kerana badan memerlukan hormon ini. Apabila stabil, pesakit tidak digalakkan menukar jenama ubat kerana setiap ubat ada kadar penyerapan berbeza. Jika masih mahu berbuat demikian, pesakit mesti berbincang dengan doktor kerana mereka perlu menjalani ujian darah semula," kata Dr Ngan.

Dos penggantian hormon yang tepat sangat penting. Jika dos terlalu rendah, terutama di kalangan pesakit tua, ia meningkatkan risiko kardiovaskular dan menyebabkan masalah degupan jantung dan tekanan darah.

Anda mangsa hipotiroidisme?

Bagaimana anda boleh tahu sama ada mengalami masalah hipotiroidisme atau tidak? Senarai di bawah mungkin dapat membantu.

Saya kerap letih dan mengantuk, tidak bertenaga dan stamina.

Minda saya kurang cekap, lambat berfikir, kurang daya tumpuan dan sukar mengingat.

Semua fungsi badan menjadi perlahan, termasuk proses perkumuhan dan metabolisme; mengakibatkan berat badan bertambah.

Kulit dan rambut menjadi kering. Kulit pucat dan muka membengkak. Kuku juga menjadi rapuh.

Saya sentiasa rasa sejuk, walaupun orang lain selesa ada dalam persekitaran sama.

Saya perasan ada banyak pemikiran negatif dan murung.

Pergerakan dan tindak balas menjadi perlahan.

Otot dan tulang terasa kaku dan sakit. Tangan juga terasa kebas.

Tekanan darah saya meningkat, tetapi kadar degupan jantung jadi perlahan.

Paras kolesterol meningkat.

Jika anda memberi jawapan 'Ya' kepada lima daripada soalan di atas, anda disaran segera berjumpa doktor dan terangkan keadaan anda.

Ia tanda yang mungkin menunjukkan anda mengalami masalah hipotiroidisme.

testimoni resdung minyak kelapa dara - BioVCO

testimoni resdung minyak kelapa dara - BioVCO


DAPATKAN SEKARANG Klik Disini



RAWATAN dan SIHAT tanpa UBAT Klik Disini






<?php echo $tajuk; ?>




beli minyak kelapa dara via SMS';







Penafian

- Maklumat yang diberikan tidak sepatutnya digunakan untuk mengenalpasti atau mengubati sebarang jenis penyakit. Sila rujuk kepada doktor atau ahli perubatan yang terlatih dan bertauliah untuk tujuan mengenalpasti jenis penyakit dan rawatan yang bersesuaian. Semua testimoni adalah berdasarkan pengalaman sebenar pengguna dan belum diuji secara klinikal, kesannya mungkin berbeza antara seseorang individu dengan individu yang lain.. - ** Harap maklum - webmaster.