Awasi beban penyakit kayap

KEBANYAKAN rakyat Malaysia sedar mengenai cacar air, iaitu virus varicella zoster (VZV) yang sangat mudah berjangkit dan menyebabkan ruam seakan-akan lepuh.

Walaupun setelah seseorang pesakit cacar air sembuh, virus yang sama akan duduk terpendam di dalam sel sarafnya selama bertahun-tahun sehinggalah virus berkenaan mencetus semula lalu menyebabkan ruam kulit yang menyakitkan.

Pengaktifan semula ini mengakibatkan kayap atau herpes zoster (HZ).

Kayap adalah ruam yang amat menyakitkan dan sukar ditanggung. Kayap juga boleh mengakibatkan komplikasi yang serius kepada golongan yang sudah lanjut usia.

Malangnya, kayap tidak difahami oleh ramai rakyat Malaysia yang menyangka bahawa mereka hanya boleh dijangkiti virus cacar air sekali dalam hidup mereka, kata Ketua dan Perunding Perubatan Kanan, Unit Penyakit Berjangkit di Jabatan Perubatan Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr. Christopher Lee pada bengkel media anjuran MSD, syarikat penjagaan kesihatan yang ulung, di sini baru-baru ini.

Risiko meningkat ikut usia


Sebaliknya, risiko menghidap kayap meningkat secara mendadak pada usia 50-an tahun kerana sistem imun golongan yang lebih tua biasanya lemah.

"Sesiapa sahaja yang pernah menghidap cacar air berisiko menghidap kayap. Dan kerana risiko ini meningkat apabila umur meningkat, kira-kira 50 peratus daripada mereka yang mencapai usia 85 tahun pernah atau akan menghidap kayap pada sesuatu masa dalam hidupnya," kata Dr Lee.

"Rakyat Malaysia perlu dididik mengenai risiko menghidap kayap dan pilihan yang ada untuk mengelakkan penyakit yang menderitakan ini. Cara meramalkan sebab-sebab kayap aktif semula atau keterukan penyakit ini tidak diketahui",katanya.

simptom awal kayap


Menurut Dr Lee, antara simptom awal kayap adalah rasa gatal, gelenyar atau pedih.

Ini akan menjadi ruam berupa lepuh berisi cecair yang mungkin diiringi rasa sakit yang ringan hingga teruk dan selalunya berlaku hanya di sebelah badan atau muka.

Kayap yang tidak dirawat boleh mengakibatkan neuralgia pascaherpes (PHN), iaitu kesakitan saraf jangka panjang yang boleh berlanjutan sehingga berbulan-bulan dan dalam beberapa keadaan, selama bertahun-tahun.

"Mujurlah, penyakit yang menderitakan ini kini boleh dicegah dengan vaksin", tambah Dr Lee.

Apa itu PHN


PHN adalah komplikasi kayap yang paling lazim berlaku dan didefinisikan sebagai rasa sakit yang berlarutan melebihi 90 hari selepas timbulnya ruam. Komplikasi ini diakibatkan oleh kerosakan pada urat saraf yang disebabkan oleh virus zoster yang membiak.

Sama seperti komplikasi perubatan yang lain, risiko seseorang menghidap PHN selepas menghidap kayap akan meningkat dengan usia. Kurang daripada seorang dalam setiap 50 pesakit kayap yang belum mencapai usia 60 tahun akan menghidap neuralgia pascaherpes.

Bagaimanapun, bagi pesakit yang berusia 60 hingga 69 tahun, angkanya meningkat kepada tujuh peratus, manakala bagi mereka yang berusia lebih 70 tahun hampir 20 peratus mungkin akan mengalami PHN.

Namun, kebanyakan pesakit yang menghidap kes acute zoster boleh mendapat alodinia di mana sentuhan pakaian yang lembut atau bayu yang bertiup di kulit juga boleh menyebabkan kesakitan.

Antara komplikasi serius yang lain ialah parut, hilang pendengaran, jangkitan kulit, dan lemah otot.

Kesan kayap


Malangnya, cara menyembuhkan kayap masih belum diketahui. Pilihan rawatan seperti ubat anti-virus hanya boleh mengurangkan tahap kesakitannya dan tempoh penyakit ini, tetapi tidak boleh mencegah neuralgia pascaherpes yang menyebabkan penderitaan akibat kayap dalam kalangan golongan yang lebih tua.

Kesan jangka panjang kayap dan komplikasi yang berkaitan dengannya boleh menjejaskan kehidupan harian pesakit.

Dalam satu kajian, hampir 40 peratus pesakit menyatakan bahawa mereka menghadapi kesukaran walaupun untuk ‘keluar dari rumah’ atau ‘pergi membeli-belah’.

Sesetengah pesakit juga menjadi murung, resah dan terganggu emosinya. Kayap menjadi bebanan kewangan yang berat terhadap pesakit, keluarga dan masyarakat secara keseluruhan.