Kitaran haid terganggu

Setiap wanita yang memasuki usia puberti akan mengalami haid pertama yang disebut menarki (menarche). Mengalami haid pada usia 15 tahun masih dianggap normal walaupun ada yang mengalaminya pada usia lebih awal.

Seharusnya seseorang wanita datang haid setiap bulan sekali, namun pada awal menstruasi, ia belum teratur dan ini wajar berlaku. Haid normal adalah yang terjadi selama beberapa hari sampai satu minggu lamanya setiap satu kitaran haid.

Pusingan haid yang tidak teratur adalah yang kurang daripada 25 hari atau lebih daripada 35 hari. Ada sesetengah wanita haidnya datang dua atau tiga bulan sekali dalam setahun seperti yang Sofia alami. Keadaan ini sering berlaku dalam kalangan anak gadis yang baru masuk ke alam remaja atau wanita yang hampir putus haid atau mencapai usia menopaus.

Keadaan ini bukanlah satu penyakit tetapi disebabkan oleh gangguan hormon. Wanita yang mengalami masalah ini kurang subur kerana ia kurang mengeluarkan telur. Pusingan yang dialami ini juga dikenali sebagai pusingan tidak berovulasi (tidak mengeluarkan telur). Namun begitu, tidak perlu runsing kerana ini adalah normal untuk peringkat awal perkembangan. Kematangan hormon juga akan menyebabkan kematangan sistem reproduksi anak gadis di mana ovarinya (kilang telur) kini berupaya mengeluarkan telur (ovulasi).

Penyebab


Terdapat pelbagai penyebab haid yang tidak teratur iaitu senaman melampau yang biasanya berlaku dalam kalangan ahli sukan atau atlet, kekurangan atau berlebihan berat badan (berat badan yang tidak ideal), mengalami tekanan perasaan yang teruk dan gangguan emosi, pengambilan pelbagai jenis ubatan, kesan sampingan apabila berhenti mengambil pil perancang keluarga, mengalami sindrom ovari polisistik dan gangguan hormon lain seperti masalah pada kelenjar tiroid.