Jantung lemah gagal pam darah


Twitter Facebook Instagram LinkedIn Flickr YouTube RSS Feed Gmail Google Plus Whatsapp Whatsapp

Jantung adalah organ yang berfungsi mengepam darah yang supaya terus beredar dalam badan tanpa henti. Bahagian kiri jantung berfungsi mengepam darah yang kaya dengan oksigen daripada paru-paru ke semua anggota badan, manakala bahagian kanan jantung pula berfungsi membawa darah tanpa oksigen daripada anggota badan ke paru-paru.
 
Jika sistem pam jantung ini gagal berfungsi, pergerakan aliran darah terganggu dan menyebabkan cecair darah ‘bertakung.’ Inilah keadaan yang dinamakan sebagai lemah jantung.
 
Otot jantung menjadi lemah dan gagal mengepam darah dengan sempurna. Jika bahagian kanan jantung menjadi lemah, cecair darah akan bertakung pada kaki menyebabkan kedua belah kaki menjadi bengkak. Jika keadaan menjadi teruk, cecair akan bertakung pada bahagian perut menjadikan perut seakan buncit.
 
Jika bahagian kiri jantung menjadi lemah, cecair akan ‘bertakung’ dalam paru-paru menyebabkan pesakit menjadi sesak nafas dan seolah ‘lemas di darat’. Pesakit juga tidak boleh baring menggunakan sebiji bantal seperti biasa, biasanya mereka akan menggunakan dua biji bantal dan kepala akan ditinggikan sedikit. 
 
Selain itu, pesakit juga akan terjaga pada waktu malam kerana mengalami sesak nafas. Jarak perjalanan juga semakin pendek, mereka akan berhenti untuk berehat jika berjalan jauh. 
 
Jika keadaan ini berterusan, kematian berlaku disebabkan jantung berhenti mengepam darah ke seluruh anggota badan, lantas menyekat bekalan oksigen. Ini berlaku terutamanya jika kedua-dua bahagian jantung gagal berfungsi serentak.
 
Lazimnya, lemah jantung ini disebabkan oleh pesakit yang sememangnya mempunyai masalah salur darah jantung yang tersumbat dan pernah mengalami serangan atau sakit jantung. 
 
Selain itu, pesakit yang menghidap darah tinggi atau kencing manis terutamanya yang susah dikawal dan menghidap dalam jangka masa panjang mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap lemah jantung. Masalah jantung bengkak yang disebabkan oleh pelbagai faktor menjadi penyebab selain masalah injap jantung yang tidak sempurna. 
 
Kebanyakan pesakit yang datang ke wad kecemasan boleh disahkan dengan pemeriksaan klinikal. Beberapa ujian perlu dilakukan untuk mengenalpasti sebab dan kategori keadaan jantung yang lemah itu. 
 
Ini dapat dilakukan dengan beberapa ujian darah, X-ray dada, elektrokardiogram (ECG) dan yang paling utama echocardiogram atau echo. Ujian echo dapat menentukan berapa peratus kekuatan jantung yang berfungsi pada waktu itu.
 
Rawatan utama di bahagian kecemasan ialah dengan mengeluarkan cecair yang bertakung tadi dan memberi sokongan oksigen yang berpatutan. Cecair yang bertakung itu boleh dikeluarkan dengan suntikan ubat.
 
Jika terlalu banyak cecair yang bertakung dalam paru-paru dan rongga perut, ia dapat dikeluarkan menggunakan jarum khas yang ditebuk pada paru-paru dan juga perut.
 
Selain itu, punca yang menyebabkan jantung menjadi lemah perlu dikenal pasti agar rawatan dan jenis ubat akan diberikan untuk jangka masa panjang bagi mengelak kejadian berulang.
 
Jika keadaan jantung terlalu lemah, ada kemungkinan alat khas dimasukkan ke dalamnya dan jika gagal juga, pembedahan transplant jantung adalah pilihan terakhir.
 
Pesakit juga dinasihatkan supaya menjaga pemakanan selain menjaga jumlah air yang diminum seharian, kurangkan pengambilan garam dan makanan yang berminyak. 
 
Kencing manis dan darah tinggi hendaklah dipastikan terkawal untuk mengurangkan risiko lemah jantung berulang. Pesakit juga perlu mengurangkan aktiviti yang lasak dan terlalu aktif. Ini kerana aktiviti itu akan meningkatkan beban kerja jantung pesakit.
 
Sumber : Harian Metro Online
hmetro.com.my

 



Jantung lemah gagal pam darah


Rawatan dan SIHAT tanpa UBAT


7 Tanda Penyakit Tiroid Yang Perlu Anda Tahu

Mengenali penyakit resdung atau sinusis

Ledakan penyakit diabetes

Tonsil dan masalah berkaitan tonsil

Bahana kolesterol tinggi

3







Tiroid Bukan Sekadar Bengkak Pada Leher



Rawatan dan SIHAT tanpa UBAT




tracker