Pakar pemakanan dan naturopati, Max Tomlinson menasihatkan supaya berhati-hati dalam pengambilan makanan dan pastikan mendapat cukup rehat, mengurangkan tahap stres dan menggunakan ubatan herba yang dibenarkan bagi meredakan migrain dan mengurangkan penderitaan serta kekerapan diserang migrain.

''Serangan migrain juga mungkin adalah tanda-tanda seseorang itu mempunyai alergik atau sensitif kepada beberapa makanan yang diambil, atau bahan kimia yang sering digunakan seharian.

"Di sini, kami tidak boleh menyenaraikan makanan yang berpotensi kerana terlalu banyak. Cuma dinasihatkan supaya menukar diet makanan kepada yang berkhasiat, segar dan menjauhi bahan kimia yang tidak semula jadi terutama dalam makanan proses atau dibungkus,'' katanya.

Tambahnya, seseorang itu juga harus berhati-hati dengan penyebab biasa seperti tekanan darah tinggi, masalah usus, tekanan darah rendah, tidak cukup tidur, sakit di bahagian belakang dan tengkuk serta kekurangan oksigen.

Makan untuk mengurangkan migrain

Berhati-hati dengan kafein - kafein boleh menyebabkan saluran darah membesar dan sakit kepala di bahagian epik.

Justeru itu amalkan minuman berkhasiat seperti air kosong, jus buah-buahan dan teh herba. Sentiasa berhidrat - mengamalkan pengambilan air boleh mengurangkan sakit kepala dan migrain. Oleh itu, amalkan mengambil makanan yang kaya dengan air seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

Bebas garam - tekanan darah tinggi juga dikenali sebagai penyebab kepada migrain. Garam boleh meningkatkan tekanan darah, mengurangkannya atau langsung tidak mengambilnya boleh membantu seseorang itu mendapat risiko migrain.

Darah melekit - darah boleh menjadi 'melekit' (dipanggil kumpulan platelet) yang berpunca daripada diet yang tidak betul. Ini bermakna darah itu tidak mengalir lancar dan meninggikan tekanan darah. Makanan yang kaya dengan vitamin E termasuk avacado, bijirin gandum tulen, kacang hazel dan minyak ikan Omega 3 yang boleh diperoleh pada ikan salmon boleh membaiki pengaliran darah.

Fiber - produk buangan yang berada di usus yang paling bawah boleh menyebabkan berlakunya toksin. Seseorang individu harus mengambil sekurang-kurangnya 40 gram fiber setiap hari bagi memastikan perut bersih dan berfungsi dengan berkesan, tetapi selalunya, seseorang itu hanya mampu sebanyak 20 gram. Sehubungan itu, digalakkan makan makanan yang kaya dengan fiber seperti beras perang, prun, kekacang, lentil dan sayur segar.

Gula dalam darah - makanan yang sarat dengan gula dan tepung gandum mengakibatkan peningkatan tahap tenaga dan sekali gus meningkatkan gula dalam darah. Ini menyebabkan pening kepala. Makanan ringan atau hidangan kecil yang berkhasiat seperti oat, bubur dan kentang panggang boleh menurunkan kadar gula secara perlahan.

Magnesium - magnesium penting untuk saraf dan otot. Ketiadaannya boleh menyumbang kepada migrain. Epal, aprikot dan beras perang kaya dengan mineral ini.

L-Tryptophan - asid amino yang berfungsi sama dengan magnesium bagi memastikan sistem saraf berfungsi dengan baik dan membantu mengurangkan migrain. Sumber makanan berkhasiat ialah beras perang, keju dan soya.