Rawatan diabetes memerlukan suntikan insulin setiap hari, pemakanan yang betul dan senaman yang kerap. Terdapat dua jenis diabetes yang utama.
Pergantungan pada insulin (jenis 1) di mana tubuh tidak menghasilkan sebarang insulin dan kebanyakannya berlaku di kalangan kanak-kanak dan dewasa muda.
Orang yang menghidap diabetes jenis 1 mesti mengambil suntikan insulin setiap hari untuk terus hidup.
Diabetes bukan bergantung pada insulin (jenis 2) pula adalah gangguan metabolik yang berlaku akibat ketidakmampuan tubuh menghasilkan insulin yang cukup atau insulin yang diguna dengan betul.
Ia adalah bentuk lazim penyakit ini dan sebahagian besarnya disebabkan oleh gaya hidup sedentari (yang tidak banyak bergerak) dan berat badan berlebihan.
Diabetes, jika dibiarkan tanpa rawatan, boleh menyebabkan komplikasi lain dan mungkin membawa maut. Ia adalah pembunuh senyap.
Bagaimanapun, penghidap diabetes boleh mencapai kesihatan optimum dengan mengubah gaya hidup mereka dan mematuhi peraturan tertentu.
Pengurusan diabetes yang betul adalah penting dalam mengelakkan komplikasi jangka panjang yang serius, yang timbul akibat gula darah yang tinggi.
Diabetes yang tidak diurus (atau diurus dengan teruk) boleh mendatangkan komplikasi perubatan yang serius seperti menjadi buta, pemotongan anggota badan, atau kerosakan kekal pada organ dalaman.
Ternyata sekali, pengurusan diabetes adalah sesuatu yang pesakit diabetes mesti lakukan secara serius.
Menurut Persatuan Diabetes Malaysia (www.diabetes.org.my), pemakanan yang disertakan dengan senaman dan ubat (insulin atau pil diabetes), adalah penting bagi mengawal diabetes iaitu mengekalkan paras gula darah seberapa normal yang boleh (paras untuk bukan pesakit diabetes).
Tiada satu pun makanan yang boleh membekalkan semua nutrien yang tubuh anda perlukan, oleh itu pemakanan yang bagus bererti makan pelbagai makanan.
Nutrien utama dalam makanan adalah karbohidrat, protein, lemak, vitamin, dan mineral. Nutrien membantu tubuh anda bekerja dengan betul dan membuatkan tubuh muda membesar.
Karbohidrat memberikan anda tenaga. Pilihan yang menyihatkan adalah kacang kering, kacang pis dan dal; roti bijirin penuh, bijian, dan biskut rangup, buah-buahan dan sayur-sayuran.
Protein diperlukan untuk tumbesaran dan menjadi bekalan tenaga sokongan yang baik. Pilihan yang sihat termasuk daging tanpa lemak dan tenusu rendah lemak.