<?php echo $tajuk; ?>


Penyakit buah pinggang : Kawal protein



Penyakit buah pinggang : Kawal protein BUAH pinggang atau ginjal berfungsi sebagai penapis darah yang menyingkirkan bahan buangan tidak diperlukan tubuh dikeluarkan dalam bentuk air kencing. Ia turut berfungsi mengekalkan keseimbangan jumlah cecair dalam tubuh, mengawal tekanan darah dan menghasilkan hormon bagi memastikan tulang kuat dan darah sihat.

Apabila buah pinggang gagal berfungsi dengan baik, bahan buangan yang biasa dikeluarkan tubuh melalui air kencing akan kekal dalam darah, menyebabkan hilang selera makan, loya, muntah, keletihan, lemah badan dan penurunan berat badan.

Penyakit buah pinggang kronik (CKD) adalah kemerosotan fungsi buah pinggang yang tidak boleh dipulihkan dan berlaku secara beransur-ansur dalam jangka masa panjang.

Diabetes antara sebab utama berlakunya CKD. Lebih sejuta penduduk Malaysia mengalami diabetes, manakala 75 peratus daripadanya mengalami kegagalan buah pinggang akibat diabetes. Faktor yang menyumbang kepada CKD ialah sakit jantung, gout dan darah tinggi dan penggunaan ubat tahan sakit berpanjangan.

Pakar diet Pusat Perubatan Tropicana, Wong Pei Lee berkata, amalan pemakanan yang baik penting bagi mengelakkan penyakit buah pinggang, antaranya makan makanan mengandungi kalori dan nutrien mencukupi, pengambilan protein sederhana, kurangkan pengambilan garam, kurangkan pengambilan potasium dan fosfat serta mengawal kadar gula dalam darah jika mengalami diabetes.

Mengawal pengambilan protein mungkin melambatkan proses kerosakan buah pinggang ke tahap lebih teruk mahupun keperluan melakukan dialisis. Pesakit CKD perlu mengelakkan diet tinggi protein.

Antara sumber makanan berprotein tinggi ialah daging, ayam, ikan, produk tenusu, telur dan produk soya (susu kacang soya dan tofu).

Hadkan pengambilan potasium kerana apabila kadar potasium tinggi, ia boleh menyebabkan lemah jantung, degupan jantung tidak tetap, lesu dan kesukaran bernafas.

Elakkan pengambilan makanan mengandungi potasium tinggi seperti bijirin gandum penuh, roti dan biskut, tomato puri, daging, ekstrak sayuran dan kiub stok, kekacang, gula perang, buahan dalam tin, kopi atau teh, koko, minuman berasaskan malta dan susu.

Bagi mengurangkan kandungan potasium dalam makanan, pastikan semua sayuran mesti dimasak, rebus dan toskan airnya. Sebelum memasak sayuran, potong ia dalam saiz kecil, rendam di dalam air, toskan dan jangan masak sayuran berkuah atau gulai.

Pengambilan sodium juga perlu dikurangkan. Hadkan pengambilannya kurang daripada 2,000 miligram sehari atau kurang daripada satu sudu teh sehari. Sodium ditemui dalam garam, makanan diproses, sos dan secara semula jadi terdapat dalam tumbuhan dan produk haiwan.

Terlalu banyak mengambil sodium akan menyebabkan seseorang berasa haus dan sukar mengawal pengambilan cecair, sedangkan pesakit CKD perlu mengehadkan pengambilan minuman atau cecair.

Banyaknya kandungan cecair (air) menyebabkan tubuh membengkak dan memberi masalah kepada tekanan darah yang akhirnya menyebabkan kemerosotan fungsi buah pinggang. Pilih herba semula jadi dan rempah, makanan tiada garam, cuka, lemon, halia atau bawang putih sebagai perasa.

Panduan mengurangkan pengambilan garam ialah ketika memasak, pilih makanan segar berbanding makanan dalam tin, disalai, mempunyai bahan pengawet atau makanan yang mengandungi kadar garam tinggi.

Gunakan garam dengan jumlah minimum, rasa makanan sebelum menambah garam atau bahan perisa, elakkan menggunakan kiub stok, belacan, tomato, sos cili dan kicap. Ketika makan di luar, elakkan menambah kicap dalam makanan yang dipesan, elakkan menghirup sup dan pesan makanan berkuah.

Tahap fosfat tinggi dalam darah menarik kalsium daripada badan, menjadikan tubuh lemah dan tulang rapuh dan sakit sendi, selain menyumbang kepada masalah penyakit tulang.

Elakkan pengambilan makanan mengandungi fosfat tinggi seperti produk tenusu (sus, keju dan yogurt), produk bijirin (oat, muesli, roti atau biskut bijirin penuh dan beras perang), produk makanan kering (ikan bilis, ikan kering, udang kering dan cendawan kering), daging dan organ dalam haiwan seperti hati dan limpa, sardin, kaki atau tulang ayam, telur kuning dan kekacang.

Selain itu, elakkan juga pengambilan coklat, minuman koko, air berkarbonat, kelapa dan produk berasaskannya seperti kaya, rumpai laut dan keropok ikan atau udang.

Mengehadkan pengambilan cecair penting bagi pesakit CKD. Sumber cecair yang ketara ialah air minuman, susu, jus, sup, bubur, kopi, teh, minuman ringan, minuman yogurt, jeli, ais krim, ais, kuah dan kastard.

Bagi mengatasi masalah pengambilan cecair berlebihan, minum air dalam gelas kecil dan makan gula-gula atau gula getah untuk merangsang pengeluaran air liur. Bilas mulut dengan air tetapi jangan telan air berkenaan.

<?php echo $tajuk; ?>




beli minyak kelapa dara via SMS











Penafian

- Maklumat yang diberikan tidak sepatutnya digunakan untuk mengenalpasti atau mengubati sebarang jenis penyakit. Sila rujuk kepada doktor atau ahli perubatan yang terlatih dan bertauliah untuk tujuan mengenalpasti jenis penyakit dan rawatan yang bersesuaian. Semua testimoni adalah berdasarkan pengalaman sebenar pengguna dan belum diuji secara klinikal, kesannya mungkin berbeza antara seseorang individu dengan individu yang lain.. - ** Harap maklum - webmaster.