Masalah Obesiti Kian Meruncing

Masalah Obesiti Kian Meruncing
Oleh Ardyhansah Amat
 
Masalah berat badan berlebihan adalah masalah global kerana dialami di setiap negara. Hampir satu bilion penduduk dunia mengalami masalah lebihan berat badan dan 300 juta daripadanya mengalami obesiti.
 
Malaysia juga tidak ketinggalan berdepan masalah ini, yang mana menunjukkan peningkatan saban tahun sejak 15 tahun lalu.
 
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2011 mendapati, sebanyak 15.1 peratus rakyat negara ini mengalami masalah berat badan berlebihan berbanding 4.4 peratus pada 1996.
 
Menurut Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan Kesihatan KKM, Saiful Adli Suhaimi, 43 peratus orang dewasa di Malaysia dikategorikan sebagai obes, 26 peratus lagi kanak-kanak sekolah rendah manakala 20 peratus di kalangan remaja.
 
“Obesiti terjadi apabila wujud lebihan lemak yang menyebabkan pertambahan berat badan. Ia terjadi akibat pengambilan makanan yang tinggi kandungan gula, garam, minyak dan lemak secara berlebihan.
 
“Keadaan ini semakin meruncing apabila gaya hidup tidak aktif menyebabkan kalori pada makanan diambil tidak dapat dibakar dengan baik lalu menyebabkannya disimpan dalam tubuh,” katanya.
 
Makanan bergula, garam dan berlemak adalah fenomena biasa dan mudah didapati di negara ini. Masak lemak cili padi, nasi lemak, masak rendang, mi goreng mamak dan roti canai antara makanan berlemak dan berkolesterol tinggi yang sentiasa menjadi pilihan ramai kerana rasanya sedap.
 
Justeru, tidak dapat dinafikan, makanan tempatan yang menjadi makanan ruji rakyat Malaysia antara faktor penyumbang utama kepada masalah kegemukan.
 
Selain itu, kewujudan restoran dan gerai makanan yang beroperasi 24 jam menggalakkan lagi tabiat buruk pemakanan.
 
Bangsar dan Kampung Baru misalnya, mendapat jolokan syurga makanan bagi masyarakat kota kerana lebih separuh restoran dan gerai makanan di sana beroperasi 24 jam sehari.
 
Pada masa sama, lambakan restoran makanan segera yang sebahagiannya turut beroperasi sepanjang hari turut menjadi faktor penyumbang kegemukan kerana ia sering menjadi pilihan generasi muda, khususnya pelajar sekolah.
 
Apatah lagi, suasananya yang jauh lebih selesa serta kemudahan Internet secara percuma menyebabkan mereka lebih gemar menghabiskan masa di restoran makanan segera, sekali gus terbiasa makan makanan di sana.
 
Saiful Adli berkata, beberapa kaedah boleh digunakan untuk mengukur tahap kegemukan seseorang, misalnya melalui Indeks Jisim Tubuh (BMI).
 
“Bagaimanapun, orang ramai juga boleh menggunakan kaedah ukur lilit pinggang dalam menentukan tahap obesiti. Secara purata, ukur lilit pinggang bagi wanita hendaklah tidak melebihi 32 inci, manakala lelaki pula 36 inci.
 
“Jika ukuran pinggang melebihi lilitan itu, individu terbabit boleh dikategorikan mengalami kegemukan atau obesiti,” katanya.
 
Apapun, masalah kegemukan atau obesiti boleh mengundang pelbagai kesan buruk, sama ada daripada segi kesihatan fizikal mahupun mental.
 
Pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Rosni, 27, mengakui pernah mengalami tekanan perasaan kerana obes ketika zaman sekolah menyebabkannya sering diejek kawan hingga membuatkan dirinya mudah terasa dan berkecil hati.
 
“Memang jika difikirkan, tiada apa perlu dirisaukan dengan saiz badan saya kerana ayah dan ibu juga mempunyai saiz badan sama.
 
“Namun disebabkan saiz saya jauh lebih besar daripada rakan sekolah sejak sekolah rendah lagi, saya sering diejek dan dipanggil ‘giant’ (gergasi),” katanya.
 
Akibat selalu dipersendakan, Rosni akhirnya menyisihkan diri dan banyak menghabiskan masa dengan menelaah pelajaran di rumah berbanding bergaul dengan rakan sebaya.
 
“Walaupun mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran, saya menghadapi masalah berkomunikasi dengan baik. Malah, dalam beberapa ujian yang memerlukan komunikasi atau pembentangan, saya pasti mendapat markah rendah.
 
“Terus terang, saya tiada keyakinan diri kerana bentuk badan sebegini. Mana tidaknya, hendak mencari pakaian seperti budak remaja lain pun sukar kerana saiz baju terhad.
 
“Memang membosankan kerana perlu berada di rumah hampir setiap masa, tetapi ia jauh lebih baik daripada terus dipersendakan orang ramai,” katanya.
 
Pernah Rosni hilang sabar sehingga memukul rakan sebaya sekolah rendah dulu yang selalu mengejeknya sehingga mendatangkan kecederaan, tetapi akhirnya dia disalahkan kerana dikatakan terlalu sensitif, selain tidak layak berlawan dengan budak bersaiz kecil.
 
“Sejak itu, saya mengelak berkawan dengan semua orang,” katanya.
 
Selain masalah mental dihadapi, pesakit obesiti berisiko menghidap penyakit berbahaya lain seperti sakit jantung, asma, kencing manis dan kanser.
 
 
Sumber : Harian Metro Online
hmetro.com.my
 



Rawatan dan Sihat Tanpa Ubat BioVCO

Baca Juga Info Kesihatan Berikut :

9 Tanda Anda Mengalami Gangguan Tiroid
Cara Mengawal Tahap Kolesterol
9 Tanda Awal dan Simptom Kencing Manis
Makanan Terbaik Apabila Anda Mengalami Jangkitan Resdung
Makanan dan Minuman Untuk Penyembuhan Tonsilitis
Menurunkan Berat Badan Dengan Pemakanan Ini
Kekalkan Dan Mengatasi Penyakit Dengan Pemakanan

$alt2