Psoriasis : Derita artritis psoriatik

MENGHIDAP penyakit kulit seperti psoriasis sangat menekan jiwa, apatah lagi bagi wanita muda sepertinya. Kalau boleh dia tidak mahu langsung keluar rumah, malu dengan keadaan kulitnya yang kering dan bersisik. Malah, bimbang juga keadaannya menyebabkan orang berasa jijik memandangnya.

Inilah yang dihadapi Haryati Amin, 27 (bukan nama sebenar). Pada tahun pertama diserang psoriasis, dia sangat tertekan dan murung. Awalnya dia geli melihat kulit sendiri yang menggelupas, kering dan tertanggal sendiri. Ketika penyakit aktif, lantai biliknya penuh dengan kepingan halus berwarna putih berkilat atau kelabu yang tanggal dari kulit di siku dan lutut.

Kulitnya terasa tegang, perit dan gatal. Jika digaru, kulit tertanggal dan berdarah.

Deritanya hanya Tuhan yang tahu. Sebagai eksekutif pemasaran, penyakitnya membuatkannya tertekan kerana dia hilang keyakinan berdepan pelanggan.

Sejak menghidap psoriasis, bermacam ubat dicuba sama ada tradisional atau daripada pakar kulit, tetapi tiada yang berkesan. Kalau hilang pun hanya sementara dan berulang semula selepas beberapa bulan.

Tidak cukup dengan itu, Haryati menyedari penyakitnya merebak ke bahagian sendi. Dia mula sakit lutut pada Jun 2003 sehingga ada masanya tidak boleh berjalan. Lututnya menjadi bengkak, merah dan sakit.

Selepas berjumpa beberapa doktor dan bengkak di lutut tidak berkurang, Haryati dirujuk kepada pakar reumatologi. Ketika itu baru dia tahu dia menghidap artritis psoriatik.

“Ketika penyakit menyerang, saya tidak boleh melutut atau berjalan kerana sangat sakit. Saya risau penyakit ini membuat saya tidak dapat berjalan lagi. Memikirkan kemungkinan itu membuat saya tertekan dan tanpa disedari ia menyebabkan proriasis tambah teruk.

“Aktiviti luar dan sukan sudah lama saya tinggalkan. Saya malu dengan keadaan kulit saya. Bagaimanapun, saya bersyukur ibu dan rakan tidak jemu memberi semangat. Saya pasrah dengan takdir Tuhan.

“Kini keadaan saya jauh lebih baik dan saya belajar untuk menjadi lebih tenang menghadapi semua keadaan.

“Saya bersenam dan mandi air suam setiap petang untuk mengurangkan tekanan. Saya cuba elak terlalu lama di dalam bilik berhawa dingin kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan saya,” katanya yang masih menerima rawatan untuk artritis.

Masalah yang dialami Haryati (artritis psoriatik) jarang dilaporkan. Malah, tidak ramai tahu mengenainya kerana rata-rata pesakit tidak mahu masalah mereka diketahui orang sekeliling, termasuk rakan sekerja, kerana ia dianggap memalukan.

Artritis psoriatik ialah keradangan yang berlaku pada sendi pesakit psoriasis. Psoriasis adalah penyakit kulit yang menyebabkan kulit menjadi tebal dan merah yang berlaku pada bahagian tertentu pada badan.

Ia boleh berlaku pada mana-mana bahagian badan sama ada siku, lutut, belakang badan atau kulit kepala kerana seluruh badan kita dilindungi kulit. Malah, psoriasis boleh mengakibatkan kuku tangan dan kaki berlubang sebelum tertanggal.

Psoriasis selalunya bermula pada lewat umur remaja. Masalah artritis psoriatik berlaku apabila penyakit yang pada asalnya ada di kulit mula merebak ke sendi. Bukan semua pesakit psoriasis akan mengalami artritis, tetapi semua pesakit artritis psoriatik mempunyai masalah psoriasis.

Biasanya psoriasis muncul dulu, tetapi dianggarkan 15 peratus kes bermula dengan artritis.

Kira-kira 30 peratus daripada pesakit psoriasis mengalami artritis psoriatik pada satu masa dalam hidup mereka kerana sehingga kini belum ada rawatan yang dapat menyembuhkan penyakit kulit ini.

Menurut Presiden Yayasan Artritis Malaysia (AFM), Dr Chow Sook Khuan, artritis psoriatik boleh berlaku pada semua peringkat umur, terutama di antara umur 20 ke 50 tahun, tanpa mengira bangsa dan jantina.

Psoriasis dan artritis dikategorikan sebagai masalah yang disebabkan gangguan sistem imun. Jika secara normalnya sistem imun kita berfungsi menyerang benda asing (seperti bakteria atau virus) yang masuk ke dalam badan, tetapi bagi pesakit ini, sistem imun menyerang badan mereka sendiri.

Sehingga kini penyelidik belum dapat menerangkan bagaimana dan kenapa perkara ini boleh terjadi.

Namun saintis percaya artritis psoriatik ada kaitan dengan faktor keturunan. Individu yang mempunyai ibu bapa menghidap psoriasis berisiko tiga kali ganda untuk menghidapnya. Kemungkinan lain ialah pendedahan kepada jangkitan atau perubahan persekitaran.

Faktor risiko:

# Sejarah keluarga

# Umur. Walaupun ia boleh berlaku pada semua peringkat umur, tetapi biasanya pada individu dewasa berumur 20 hingga 50 tahun.

testimoni psoriasia minyak kelapa dara - BioVCO

testimoni ruam lampin minyak kelapa dara - BioVCO


Rawatan dan Sihat Tanpa Ubat BioVCO

Baca Juga Info Kesihatan Berikut :

9 Tanda Anda Mengalami Gangguan Tiroid
Cara Mengawal Tahap Kolesterol
9 Tanda Awal dan Simptom Kencing Manis
Makanan Terbaik Apabila Anda Mengalami Jangkitan Resdung
Makanan dan Minuman Untuk Penyembuhan Tonsilitis
Menurunkan Berat Badan Dengan Pemakanan Ini
Kekalkan Dan Mengatasi Penyakit Dengan Pemakanan

$alt2