Penyakit Artritis Gout

Penyakit artritis gout PENYAKIT artritis gout adalah penyakit yang agak kerap didiagnos oleh para doktor. Namun sebenarnya, penyakit ini mempunyai implikasi dan komplikasi tersendiri. Ia melibatkan pemendapan asid urik di dalam bahagian ekstraselular.

Penyakit artritis gout adalah sebahagian daripada spektrum penyakit gout yang terdiri daripada artritis inflamasi akut, gout tophaceous kronik dan batu karang gout di dalam buah pinggang.

Penyakit Artritis Gout Akut

Serangan artritis gout biasanya berlaku secara tiba-tiba dan menyebabkan sendi yang terlibat itu membengkak dan sakit sehingga menyebabkan seseorang pesakit itu sukar untuk berdiri ataupun berjalan. Kesan ini menjadi maksimum setelah beberapa jam dan hanya hilang setelah berminggu-minggu lamanya.

Sebanyak 80 peratus daripada serangan artritis gout berlaku di sendi ibu jari kaki atau secara tepatnya sendi metatarsal pertama. Sendi kedua adalah sendi lutut. Namun, sendi-sendi lain juga boleh terlibat dan menyukarkan diagnosis.

Para pesakit artritis gout akut boleh mengalami demam dan ujian darah yang tidak normal. Ujian darah boleh menunjukkan radang yang aktif. Cecair sendi akan menunjukkan kristal-kristal gout apabila diteliti melalui mikroskop polaraiz.

Ujian serum asid urik boleh menunjukkan tahap yang normal walaupun semasa serangan gout. Ujian sinar-X kadangkala menunjukkan hakisan tulang di sekitar sendi. Namun ini hanya boleh dilihat di dalam pesakit-pesakit yang tidak dirawat ataupun yang teruk.

Dua puluh peratus daripada pesakit yang mengalami serangan satu sendi boleh juga mengalami penglibatan sendi-sendi lain secara serentak. Ini dikenali sebagai penglibatan poliartikular.

Namun, penglibatan poliartikular ini lebih biasa dialami oleh pesakit-pesakit leukemia, limfoma dan yang mengambil ubat ciclosporin. Pemendapan kristal gout di kulit atau 'tophi' juga boleh berlaku.

Faktor-faktor yang boleh menyebabkan serangan sendi akut adalah trauma, pembedahan, kebuluran, diet yang keterlaluan, pengambilan alkohol dan pengambilan ubat-ubatan yang boleh mempengaruhi tahap asid urik di dalam darah contohnya, diuretik.

Antara 12 hingga 43 peratus pesakit gout mempunyai tahap asid urik yang normal ataupun rendah tatkala serangan berlaku. Apabila sesuatu episod serangan gout itu telah reda, bahagian kulit pada sendi yang terlibat akan mengelupas.

Tempoh Interkritikal Gout Dan Serangan Gout Berulang

Tempoh interkritikal gout bermaksud tempoh antara serangan. Tempoh ini berbeza-beza bagi setiap individu. Ia akan menjadi pendek jika seseorang itu tidak diubati dan jika berlanjutan kerosakan sendi boleh menyebabkan tempoh ini menjadi lebih singkat. Keadaan ini diikuti oleh kejadian tophi dan kecacatan sendi yang kekal.

Gout Tophacoeus Kronik

Kejadian tophi boleh berlaku di cuping telinga, kulit, sendi-sendi mahupun tulang. Biasanya tophi tidak menyakitkan namun jika inflamasi berlaku pada sendi yang berdekatan keadaan sebaliknya berlaku.

Sinar-X sendi akan menunjukkan hakisan di kawasan berhampiran sendi. Tempoh berlakunya serangan gout pertama sehingga pemendapan tophi adalah lima hingga 40 tahun, berbeza daripada individu kepada individu.

Komplikasi Buah Pinggang Hiperuresemia Kronik

Terbahagi kepada batu karang asid urik dan urate nephropathi yang kronik.

Batu karang asid urik adalah komplikasi utama gout meliputi 20 peratus pesakit gout. Batu karang ini terdiri daripada 80 peratus asid urik dan selebihnya kalsium oksalat ataupun kalsium fosfat.

Terdapat tiga faktor bagi penghasilan batu karang asid urik iaitu: Pertambahan pengeluaran asid urik, pengurangan isi padu air kencing dan urin yang lebih asidik.

Urate nephropathi kronik pula melibatkan kerosakan buah pinggang yang melibatkan pemendapan asid urik di dalam bahagian medulari interstium buah pinggang ataupun bahagian tengah buah pinggang. Pemendapan ini mendatangkan inflamasi, fibrosis ginjal dan kerosakan kekal.

Bagaimanapun, kerosakan buah pinggang pesakit gout turut berkaitan dengan penyakit diabetes, darah tinggi, kegemukan dan aterosklerosis. Di dalam individu-individu sedemikian kerosakan buah pinggang disebabkan oleh pelbagai faktor.

Penyakit artritis gout



Rawatan dan Sihat Tanpa Ubat BioVCO

Baca Juga Info Kesihatan Berikut :

9 Tanda Anda Mengalami Gangguan Tiroid
Cara Mengawal Tahap Kolesterol
9 Tanda Awal dan Simptom Kencing Manis
Makanan Terbaik Apabila Anda Mengalami Jangkitan Resdung
Makanan dan Minuman Untuk Penyembuhan Tonsilitis
Menurunkan Berat Badan Dengan Pemakanan Ini
Kekalkan Dan Mengatasi Penyakit Dengan Pemakanan

$alt2