Fibroid buncit dan mandul

FIBROID merupakan antara tumor atau ketumbuhan tidak berkanser di dalam rahim, yang paling biasa terjadi di kalangan wanita. Boleh dikatakan tiga daripada empat wanita ‘mengusung’ fibroid ke sana ke mari tanpa disedari.

Mungkin kerana saiznya yang terlalu kecil serta bilangannya yang tidak begitu banyak ketika itu, lalu kewujudannya tidak memberikan apa-apa petunjuk. Gejala turut bergantung kepada kedudukan fibroid di dalam rahim.

Fibroid lazimnya dijumpai secara tidak sengaja semasa doktor melakukan pemeriksaan sakit puan mahupun perbidanan.

Kerana itulah, wanita harus berjumpa dengan doktor secara berkala untuk pemeriksaan kesihatan terutamanya apabila umur menjangkau 35 tahun.

Jika anda bernasib baik seperti kebanyakan wanita-wanita lain, fibroid tidak akan mendatangkan masalah kepada tuannya dan jarang memerlukan rawatan.

Bagaimanapun, fibroid memerlukan rawatan segera jika ia menyebabkan gejala-gejala seperti haid banyak dan menyakitkan dan pendarahan berlaku di antara kitaran haid dan juga di luar julat haid bulanan.

Anda juga perlu bertindak sekiranya fibroid membesar secara mendadak, sakit pada bahagian pinggul, tidak pasti di antara ketumbuhan telur ataupun fibroid dan, jika anda masih belum dikurniai cahaya mata.

“Dalam bahasa yang mudah, fibroid sebenarnya lebihan daging rahim atau, dalam istilah perubatan dipanggil leiomioma ataupun mioma.

“Ia muncul dalam pelbagai kedudukan dan saiz, ada yang bertangkai kecil, ada yang mempunyai dasar tangkai yang besar, ada yang berada di dalam dinding, di bahagian luar dan juga di dalam rongga rahim,” kata Dr. Shah Reza Johan Noor.

Menurut pakar perunding perbidanan dan sakit puan di Hospital Universiti Sains Malaysia itu, kepelbagaian ini memberikan rungutan dan pengalaman yang berbeza kepada pesakit.

Tumbesarannya boleh jadi perlahan-lahan dan ada juga yang cepat. Ramalan tumbesaran ini sukar dirumuskan. Begitu juga dengan punca fibroid – masih belum diketahui hingga kini.

“Lazimnya umur di antara 30 hingga 40 tahun, fibroid biasa dijumpai. Baja tumbesaran fibroid ini ialah hormon wanita estrogen.

“Paras fisiologi hormon wanita estrogen boleh turun dan naik. Contohnya semasa mengandung, paras estrogen meningkat menyebabkan tumbesaran fibroid menjadi rancak dan sebaliknya, semasa menopaus,” ujarnya.

Rungutan lazim

Perubahan kitaran haid bulanan seperti lebih banyak pendarahan, lebih kerap datang bulan, sakit dan kejang semasa haid dan anemia iaitu kekurangan darah akibat pendarahan

* Sakit pada bahagian bawah abdomen dan belakang serta sakit semasa melakukan hubungan seks

* Tekanan dari fibroid; sukar dan mungkin juga kerap membuang air kecil, sembelit, sukar membuang air besar, sakit di bahagian dubur dan abdomen kejang

* Rahim dan abdomen semakin buncit dan membesar

* Keguguran dan mungkin juga kemandulan.

Dr. Shah Reza turut mengingatkan bahawa rungutan-rungutan tersebut mungkin juga diakibatkan oleh penyakit-penyakit lain, jadi pertemuan dengan doktor harus diutamakan.

Diagnosis

* Ultrasound; menggunakan gelombang bunyi untuk membina imej-imej di kawasan yang diperiksa

* Histeroskopi; satu alat teropong khas kecil yang dapat memasuki faraj dan pangkal rahim untuk melihat kawasan dalaman rahim, seterusnya memaparkan imej untuk direkodkan

* Histerosalfingografi; ujian yang menggunakan sinar-X, berupaya melihat perubahan saiz dan juga bentuk rahim akibat kehadiran fibroid, tiub falopian juga dapat diperiksa

* Laparoskopi; kaedah penelitian yang dijalankan di bawah pembiusan, di mana satu alat teropong khas dimasukkan melalui pusat.

Abdomen dikembungkan dengan gas bagi membolehkan doktor membuat penelitian langsung di sekitar kawasan rongga abdomen dan juga pinggul. Fibroid yang berada di luar rahim dapat dikesan melalui cara ini

Kadangkala kaedah pengimejan resonans magnetik (MRI) dan juga tomografi aksial berkomputer (CAT) digunakan, dengan tujuan asal untuk meneliti penyakit-penyakit lain tetapi fibroid dikenal pasti secara kebetulan.

Rawatan

Fibroid yang kecil biasanya tidak bermasalah. Demikian juga halnya jika fibroid dijumpai pada wanita menopaus.

“Pemeriksaan berkala perlu bagi memastikan fibroid tidak bertukar status dan juga tidak membebankan.

“Tidak perlu mengehadkan hubungan kelamin kecuali ia mendatangkan kesakitan, ini juga harus memangkinkan pemeriksaan lanjutan,” kata Dr. Shah Reza.

Fibroid, tambahnya, boleh dirawat melalui pembedahan dan penggunaan hormon agonis GnRH bagi mengurangkan saiz fibroid, agar darah tidak banyak hilang semasa pembedahan.

Miomektomi

Pembedahan yang hanya melibatkan pembuangan fibroid tanpa kehilangan rahim.

“Disebabkan rahim tidak dibuang, mengandung menjadi satu kebarangkalian. Tetapi bersalin secara pembedahan adalah dinasihatkan kerana risiko rahim pecah adalah tinggi.

“Kadangkala, pembedahan fibroid ini menyebabkan kesan parut yang boleh menyebabkan kemandulan.

“Perlu diingatkan, fibroid yang dibuang merupakan fibroid yang jelas kelihatan. Dalam dua hingga empat tahun, fibroid baru mungkin terbentuk dan pembedahan mungkin disyorkan sekali lagi.”

Bergantung kepada saiz dan kedudukan fibroid, miomektomi dilakukan dengan tiga cara iaitu laparotomi, melibatkan pembedahan pada abdomen manakala laparoskopi - fibroid dibuang melalui unjuran optik yang dimasukkan ke dalam rongga abdomen melalui insisi/goresan kecil

Histeroskopi pula melibatkan penggunaan alat resektoskop untuk membuang unjuran fibroid yang berada di dalam rongga rahim. Kedudukan fibroid di sebelah dalam dinding rahim tidak terusik.

Teknik ini berupaya untuk memberhentikan pendarahan oleh fibroid yang berada di rongga rahim.

Embolisasi Arteri Uterin

Prosedur baru ini tidak memerlukan bius dan pembedahan. Arteri yang membekalkan darah kepada fibroid disekat, menyebabkan fibroid mati dan kemudiannya mengecil.

Teknik ini boleh didapati di mana-mana hospital tertiari contohnya Hospital Universiti Sains Malaysia.

Histerektomi

Pembedahan yang melibatkan pembuangan rahim bersama-sama dengan fibroid. Ovari hanya dibuang jika perlu.

Histerektomi dicadangkan sekiranya pesakit mengalami pendarahan dan kesakitan berlangsung walaupun telah diberikan perawatan perubatan, fibroidnya besar dan rawatan lain tidak berkemungkinan.

Doktor akan menyiasat kemungkinan barah rahim dan pangkal rahim sebelum histerektomi dicadangkan. Pesakit tidak boleh mengandung selepas pembedahan histerektomi.

Komplikasi

Dr. Shah Reza berkata, fibroid yang bertangkai mungkin terpusing dan ini mengakibatkan kesakitan, mual muntah dan juga demam.

“Fibroid juga mungkin terinfeksi, terutama sekali apabila kawasan sekitarnya dihinggapi kuman. Contohnya seperti dalam kes-kes radang apendiks ataupun penyakit kelamin.

“Dalam kes-kes terpencil, fibroid mungkin membesar dengan kadar yang amat cepat - memberi petanda yang fibroid mungkin telah menjadi kanser,” jelasnya.

Saiz yang membesar juga menyebabkan bahagian perut membuncit dan kelihatan seperti sarat mengandung. Kemandulan juga satu kemungkinan sekiranya sebab-sebab lain sudah pun diterokai.

Fibroid dan kehamilan

Fibroid akan membesar semasa mengandung. Ini, kata Dr. Shah Reza, digalakkan lagi dengan bertambahnya bekalan darah ke rahim.

“Tumbesaran yang cepat ini memberikan kesan tidak senang pada ibu, sakit mungkin berlaku, rasa membebankan pada abdomen.

“Saiz fibroid akan cepat mengecil selepas kelahiran. Biasanya, fibroid tidak akan dibuang sekiranya pesakit hamil, walaupun semasa pembedahan kelahiran,” katanya.

Fibroid meningkatkan risiko keguguran (kelahiran janin sebelum 20 minggu mengandung), kelahiran pramatang dan kelahiran songsang.

Fibroid juga mungkin menghalang kelahiran normal dan jumlah pendarahan yang berlebihan semasa bersalin.

Kelahiran secara pembedahan dinasihatkan sekiranya pesakit pernah menjalani miomektomi.

Testimoni minyak kelapa dara satu


Rawatan dan Sihat Tanpa Ubat BioVCO

Baca Juga Info Kesihatan Berikut :

9 Tanda Anda Mengalami Gangguan Tiroid
Cara Mengawal Tahap Kolesterol
9 Tanda Awal dan Simptom Kencing Manis
Makanan Terbaik Apabila Anda Mengalami Jangkitan Resdung
Makanan dan Minuman Untuk Penyembuhan Tonsilitis
Menurunkan Berat Badan Dengan Pemakanan Ini
Kekalkan Dan Mengatasi Penyakit Dengan Pemakanan

$alt2