Malah lebih teruk, kira-kira 30 peratus remaja yang berjerawat akan terus mempunyai masalah itu sehingga mereka dewasa.
Profesor Perubatan Mikrobiologi dari Universiti Perubatan Antarabangsa Malaysia (IMU), Prof. Ong Kok Hai berkata, untuk mengatasi masalah jerawat, seseorang terlebih dahulu perlu mengetahui punca yang menyebabkan keadaan tersebut berlaku.
Secara umum katanya, jerawat adalah keadaan abnormal pada kulit akibat gangguan rembesan berlebihan kelenjar minyak (sebaceous gland) hingga menyebabkan saluran folikel rambut atau liang roma tersumbat.
Ini menyebabkan radang (bengkak) yang biasanya terjadi pada dada, belakang badan dan muka - bahagian paling kerap dijangkiti.
“Kita perlu faham bahawa kulit mempunyai banyak lapisan. Lapisan paling atas akan bertukar setiap 28 hari dan mengelupas sebagai sel mati. Dalam keadaan tertentu sel mati ini termasuk ke dalam liang-liang roma.
“Apabila liang-liang roma ini mengeluarkan minyak ia bercampur dengan sel-sel mati lalu membentuk gumpalan yang menyekat liang-liang roma,” katanya.
Menurut Kok Hai, jika tidak dikeluarkan, gumpalan ini memerangkap bakteria P. acnes di dalam liang roma tersebut sehingga menyebabkan radang dan seterusnya timbul jerawat.
Menurut Kok Hai, kebiasaannya jerawat bermula dengan kelihatan seperti bisul atau benjolan kecil pada kulit berwarna keputihan atau kemerahan.
Menurutnya lagi, punca sebenar terbentuknya jerawat tidak diketahui, bagaimanapun para doktor telah menyatakan beberapa faktor yang mungkin boleh dikaitkan sebagai penyebab masalah kulit itu.
Antaranya, peningkatan hormon di peringkat remaja menyebabkan kelenjar minyak menghasilkan lebih banyak minyak sebum, oleh itu liang roma tersumbat dengan lebih kerap.
Menurutnya, hasil penelitian menunjukkan sebanyak 85 peratus mengalami jerawat pada usia 12-25 tahun, 15 peratus mengalaminya hingga usia 25 tahun.
“Jika tidak diatasi dengan baik, gangguan jerawat boleh berlarutan sehingga usia seseorang mencecah 40 tahun,” katanya.
Jerawat juga kerap berlaku ketika wanita hamil berikutan perubahan hormon atau ketika permulaan dan pemberhentian penggunaan pil perancang kehamilan.
“Jerawat juga dikaitkan dengan keturunan di mana biasanya jika ibu bapa mempunyai masalah tersebut anaknya juga mungkin menghadapi masalah yang sama,” katanya.
Keyakinan
Kok Hai berkata, selain menimbulkan bekas yang menjejaskan penampilan, kesan utamanya adalah pada jiwa seseorang, seperti krisis keyakinan diri yang rendah dan kemurungan.