Mengapa Imuniti Badan Semakin Lemah?

Imuniti badan manusia kian kurang. Antibiotik adalah sejenis bahan kimia yang terhasil menerusi mikro organisma ANTIBIOTIK adalah sejenis bahan kimia yang terhasil menerusi mikro organisma yang boleh mengehadkan pertumbuhan atau membunuh kuman. Ia digunakan dengan meluas dalam bidang perubatan dan pertanian sebagai ubat untuk membantu pertahanan sesuatu jasad melawan penyakit berjangkit untuk manusia, tumbuhan dan haiwan.

Bagaimanapun, kebelakangan ini banyak syarikat pembuat ubat tidak lagi mengeluarkan antibiotik baru, walaupun kebanyakan antibiotik sedia ada tidak lagi mampu melawan pelbagai spesies kuman yang baru muncul.

Satu kajian oleh Persatuan Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat menunjukkan jumlah antibiotik diluluskan Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika (FDA) berkurangan 56 peratus dalam tempoh 20 tahun dengan hanya enam antibiotik baru dipasarkan, termasuk dua pada 2003. Ini berlaku ketika pelbagai spesies kuman baru yang tahan antibiotik ditemui semakin membiak di persekitaran air dan rantaian makanan.

Ketika ini penyakit berjangkit, termasuk selesema burung adalah penyebab kedua kematian di dunia. Namun syarikat pengeluar ubat nampaknya tidak mempunyai inisiatif memajukan antibiotik baru bagi menangani masalah ini.

Hal ini berlaku kerana sesuatu sebatian antibiotik itu perlu dikaji, dimaju dan dikomersialkan dalam jangka masa panjang, antara 10 hingga 12 tahun dengan modal sehingga AS$800 juta (RM2.96 bilion).

Ketika ini tumpuan pembuatan ubat ialah bagi penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetis tahap 2, jantung atau radang sendi dengan pasarannya lebih luas dan lumayan, khususnya di negara maju yang ketika ini mempunyai peratus golongan tua tinggi. Ubat jenis ini digunakan sepanjang hayat pesakit, berbanding antibiotik yang digunakan dalam tempoh singkat antara tiga hari hingga dua minggu.

Selain itu, kuman yang menjadi sasaran antibiotik pula sudah membentuk ketahanan badan (imuniti) yang tinggi untuk melawan antibiotik. Ia berlaku kerana dua sebab iaitu penggunaan antibiotik yang semakin meluas termasuk kepada penyakit lumrah sehingga kuman membentuk ketahanan yang tinggi dan pencemaran alam sekitar yang semakin rumit.

Di kebanyakan negara maju, khususnya di Britain, doktor tidak mencadangkan pengambilan antibiotik kepada pesakit yang menghidap demam selesema atau sakit kerongkong serta penyakit lumrah seumpamanya.

Jika hal ini dilakukan dengan meluas, maka ketahanan badan pesakit tidak dapat diperkuatkan dan akhirnya tidak lagi mampu melawan penyakit lumrah. Di samping itu, penggunaan sedemikian juga memperkuatkan lagi imuniti jenis kuman itu untuk melawan antibiotik digunakan. Akibatnya banyak penyakit lumrah tidak lagi dapat diubati menggunakan antibiotik yang ada di pasaran ketika ini.

Selain itu, pencemaran alam sekitar juga menyumbang kepada penghasilan pelbagai spesies kuman baru yang tahan antibiotik. Bahan cemar baru dikeluarkan menerusi penghasilan pelbagai produk pengguna seperti syampu, sabun, pewarna dan cat, bahan cuci pembunuh kuman, malah permainan kanak-kanak.

Menerusi pelbagai iklan, kita disogokkan dengan fakta bahawa kanak-kanak gembira dan `selamat' bermain di atas lantai yang dibasuh dengan pencuci pembunuh kuman menggunakan permainan yang boleh digigit dan dikunyah. Tetapi kenyataannya, kanak-kanak itu terdedah kepada bahan kimia yang mengurangkan ketahanan badannya melawan kuman yang menyebabkan penyakit berjangkit.

Bahan antibakteria yang meluas digunakan di rumah ialah sejenis bahan kimia dikenali sebagai triclosan. Ia berfungsi terhadap enzim yang terbabit dalam pembentukan dinding sel sesuatu bakteria. Dengan kata lain, antibakteria dan antibiotik berfungsi dengan cara sama dan kedua-duanya boleh membentuk kuman generasi baru yang mempunyai ketahanan atau imuniti tinggi.

Ketika ini, banyak kajian dilakukan di Malaysia dan luar negara terhadap kewujudan pelbagai jenis mutan ( spesies baru yang terhasil akibat pengubahsuaian genetik) yang tahan triclosan daripada spesies kuman biasa seperti Escherichia coli dan Staplylococcus aureus.

Saintis membuat ramalan bahawa mutan ini akan mewujudkan pelbagai penyakit baru yang sukar untuk disembuhkan kerana ketahanan badan manusia semakin berkurangan dan ketiadaan antibiotik yang sesuai untuk menyembuhkan penyakit itu.

Dalam keadaan ini, saya mencadangkan isu penggunaan antibiotik ini dikaji dengan segera, khususnya di kalangan pengamal perubatan swasta yang nampaknya begitu bermurah hati membekalkan pesakit dengan pelbagai antibiotik walaupun hanya demam selesema dan batuk. Garis panduan lebih ketat mengenai penggunaan antibiotik juga perlu dilaksanakan.

Selain itu, sistem rawatan kumbahan juga perlu dipertingkatkan untuk membolehkan pelbagai bahan cemar baru disingkirkan. Kajian dilakukan di Jepun dan Jerman menunjukkan teknologi rawatan kumbahan yang konvensional (penyingkiran bahan organik dan nutrien) tidak berupaya menyingkirkan bahan cemar baru, khususnya yang memberi kesan kepada keseimbangan endokrin dalam tubuh manusia (EDC). Hal sama perlu dilakukan kepada teknologi rawatan air minuman yang ketika ini menggunakan air mentah semakin tercemar.

Pencemaran itu tidak saja menerusi pelbagai aktiviti pertanian dan perindustrian di hulu kawasan tadahan, malah perumahan di mana pelbagai bahan cemar terkandung bahan pencuci, sabun, cat dan sebagainya masuk ke dalam ekosistem air menerusi sistem kumbahan dan longkang.

Mungkin itulah juga sebabnya pelbagai ubat, ramuan dan suplimen menjadi keperluan harian masyarakat moden ketika ini, termasuk di Barat. Ia semakin menjadi kebiasaan dan tidak hairan pasarannya di Malaysia saja melebihi RM1 bilion setahun.

Ada yang bersifat tradisional seperti minyak kelapa dara, tongkat ali, kacip fatimah dan gamat, malah banyak juga dikomersialkan menerusi ramuan moden seperti dalam bentuk pil multi-vitamin, makanan tambahan dan minuman kesihatan. Semua bertujuan menguatkan ketahanan badan melawan penyakit yang terhasil menerusi kecanggihan produk zaman moden.

Imuniti badan manusia kian kurang. Antibiotik adalah sejenis bahan kimia yang terhasil menerusi mikro organisma

Rawatan dan Sihat Tanpa Ubat BioVCO

Baca Juga Info Kesihatan Berikut :

9 Tanda Anda Mengalami Gangguan Tiroid
Cara Mengawal Tahap Kolesterol
9 Tanda Awal dan Simptom Kencing Manis
Makanan Terbaik Apabila Anda Mengalami Jangkitan Resdung
Makanan dan Minuman Untuk Penyembuhan Tonsilitis
Menurunkan Berat Badan Dengan Pemakanan Ini
Kekalkan Dan Mengatasi Penyakit Dengan Pemakanan

$alt2